Sabtu, 18 November 2017

Nicol tentukan kejuaraan - Azlan, Beng Hee bertemu di final kategori lelaki



ARKIB : 08/03/2008
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
AKSI Nicol David (kanan) menentang pemain England, Alison Water pada Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB di Berjaya Time Square, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar SHAIFUDIN MOHD. NOR.

KUALA LUMPUR – Malaysia memastikan salah satu gelaran Terbuka Kuala Lumpur CIMB dalam genggamannya apabila trio skuasy negara - Azlan Iskandar, Ong Beng Hee dan Nicol David mara ke perlawanan akhir di Berjaya Times Square, semalam.

Azlan dan Beng Hee bakal bersaing bagi gelaran lelaki yang turut menawarkan ganjaran selaku juara, AS$7,600 (RM24,084) selepas masing-masing menewaskan Adrian Grant dari England dan pemain Australia Stewart Boswell pada separuh akhir.

Azlan, 25, pilihan ketiga kejohanan ini memerlukan 62 minit untuk menjinakkan Grant yang juga pilihan kedua, 11-5, 11-8, 11-9 sementara Beng Hee menundukkan pilihan utama, Boswell 11-5, 11-8, 11-7 dalam 46 minit.

Kemaraan dua pemain lelaki negara ini juga mengulangi pertembungan mereka pada Terbuka Kuala Lumpur 2006 yang dimenangi oleh Azlan selepas mengharungi lima set perlawanan akhir yang sengit.

Malah, inilah peluang keemasan buat Beng Hee, 28, menebus kekalahan terbarunya kepada pemain kelahiran Kuching, Sarawak itu yang meragut gelaran individu Kejohanan Asia daripadanya di Kuwait, bulan lalu.

Nicol, ratu skuasy dunia pula semakin hampir menggapai gelaran ketiganya tahun ini selepas Terbuka Apawamis dan Kejohanan Asia dengan menewaskan Alison Waters dari England 9-6, 9-4, 9-4 dalam tempoh 37 minit.

Gadis kelahiran Pulau Pinang yang meraih lapan gelaran sepanjang tahun lalu, akan menghadapi tentangan musuh tradisinya, Natalie Grinham dari Belanda yang meneruskan cabaran keluarga Grinham selepas kakaknya, Rachael dikejutkan Waters dalam suku akhir kelmarin.

Natalie, pilihan kedua Terbuka Kuala Lumpur memburu gelaran dan ganjaran AS$8,550 (RM27,077) selepas menundukkan rakan senegara, Vanessa Atkinson 9-0, 9-7, 9-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir yang memakan tempoh setengah jam.

Kata Nicol, menentang Natalie yang baru bertukar kerakyatan dari Australia, pasti lebih menarik kerana masing-masing telah beberapa kali bertemu pada pelbagai kejohanan utama dan cukup arif dengan permainan lawan.

“Hebat dapat mengatasi Waters tetapi pasti lebih menarik apabila kembali menentang Natalie,” katanya yang turut memburu gelaran Terbuka Kuala Lumpur buat kali kelima selepas 2000, 2002, 2005 dan 2007.

Sementara itu, Azlan, juara 2003 dan 2006, berkata, dia perlu memperbaiki kelemahannya yang mudah leka dan sesekali berlengah untuk mengejar bola seperti yang nyaris dimanfaatkan Grant.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4yn4QMpmJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan