Oleh SAYED HESHAM IDRIS
Nicol David membalas pukulan
lawannya, Rebecca Chiu dari Hong Kong pada Kejohanan Skuasy CIMB Terbuka
Malaysia 2008 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, semalam.
- Gambar ASWAD YAHYA
KUALA LUMPUR - Juara bertahan,
Datuk Nicol David mudah melangkah ke suku akhir Kejohanan Skuasy CIMB Terbuka
Malaysia selepas menewaskan pemain Hong Kong, Rebecca Chiu di Pusat Skuasy
Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Turut mengesahkan kemaraan
ialah juara bertahan lelaki, Azlan Iskandar dan pilihan kedua kejohanan, Ong
Beng Hee.
Namun, hasrat pemain muda
wanita negara, Delia Arnold untuk meneruskan kemaraan disekat pemain England,
Jenny Duncalf.
Pemain nombor satu dunia itu
yang memburu kejuaraan keempat kejohanan mudah menewaskan Rebecca 11-5, 11-5,
13-11.
Nicol yang ditemui berkata, dia
puas hati dengan kemenangan tersebut setelah agak lama tidak beraksi di
sebarang kejohanan.
Katanya, ia satu permulaan baik
dalam misi kejuaraan keempat di tempat sendiri.
''Sebenarnya perlawanan ini
lebih kepada untuk mencari rentak kerana saya sudah agak lama tidak beraksi.
''Saya cuma mengelak daripada
melakukan kesilapan dan terus memberi tumpuan di sepanjang permainan hingga ke
akhir.
''Saya akan cuba mengekalkan
prestasi baik ini pada perlawanan seterusnya,'' katanya.
Nicol akan menentang pemain
pilihan ketujuh kejohanan, Omneya Andel Kawy dari Mesir dalam suku akhir, hari
ini.
Semua perlawanan suku akhir
akan berlangsung di The Curve, Mutiara Damansara.
Sementara itu, Azlan Iskandar
mara ke suku akhir selepas menewaskan pemain senegara, Mohd. Nafiizwan Adnan
11-2, 11-6,11-6 dalam masa 28 minit.
Menurut Azlan, dia kagum dengan
peningkatan prestasi Nafiizwan.
''Dia seorang pemain yang
berdisiplin dan menunjukkan mutu permainan yang sama sekali berbeza berbanding
sebelum ini,'' katanya.
Azlan akan menentang pemain
Pakistan, Mansoor Zaman, pemain pilihan keenam kejohanan.
Ong Beng Hee turut mengesahkan
kemaraan ke suku akhir apabila menewaskan pemain negara dari pusingan
kelayakan, Mohd. Asyraf Azan 11-3, 11-6, 11-0.
Sementara itu, pilihan pertama,
Wael El Hindi dari Mesir diberi tentangan di set akhir sebelum menang
11-6,11-4, 11-9 ke atas pemain England, Chris Ryder.
Lawan Wael hari ini ialah
Saurav Ghosal dari India yang menewaskan Eric Galvez dari Mexico.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zneol1j5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan