Selasa, 28 November 2017

Nicol ke separuh akhir

ARKIB : 25/07/2008
 
PETALING JAYA – Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David (gambar) mengetuai kemaraan trio Malaysia ke separuh akhir Kejohanan CIMB Terbuka Malaysia sambil dua rakan senegara, Azlan Iskandar dan Ong Beng Hee menempuh nasib berbeza sebelum mengesahkan tempat ke pusingan itu di The Curve, Damansara, semalam.

Nicol yang juga juara bertahan memerlukan 45 minit untuk menundukkan pemain Mesir yang juga pilihan ketujuh, Omneya Abdel Kawy 11-9, 11-8, 8-11, 11-4 sementara Azlan mendapat laluan mudah hanya selama 18 minit untuk menjinakkan pemain Pakistan, Mansoor Zaman 11-3, 11-5, 11-3.

Berbanding rakan senegara yang juga pilihan ketiga itu, Beng Hee sebagai pilihan kedua kejohanan pula terpaksa berhempas pulas bagi sejam setengah untuk melepasi tentangan sengit rakan senegara Mansoor, Farhan Mehboob 16-14, 9-11, 11-1, 11-8, 11-8.

Nicol kini berada dua langkah lagi untuk meraih gelaran kelima selepas menguasai Terbuka Kota Seoul, Terbuka Kuala Lumpur, Terbuka Britain dan Terbuka Apawamis sepanjang tahun ini tetapi perlu menghadapi pilihan ketiga yang juga musuh ketatnya, Rachael Grinham dari Ausralia pada separuh akhir hari ini.

‘‘Saya terpaksa mengerah tenaga menentang Omneya dan cuba kembali membawa permainan menurut rentak saya untuk mengalahkannya,’’ katanya.

Sementara itu, Rachael dalam suku akhir semalam turut menundukkan pemain England yang juga pilihan kelapan, Laura Lengthorn-Massaro 12-10, 11-13, 12-10, 11-3 selepas bertarung selama 48 minit.

Satu lagi suku akhir wanita menemukan Tania Bailey dari England dengan adik Rachael tetapi telah memiliki kerakyatan Belanda, Natalie Grinham.

Beng Hee pula agak terganggu kerana mungkin kehilangan jurulatihnya, Jamshed Gul yang kontraknya bakal berakhir, terlepas satu set kepada lawan pilihan ketujuh itu.

‘‘Saya hilang keyakinan dan tumpuan ketika itu dan dia (Farhan) memang bekerja keras untuk memburu mata.

‘‘Saya hanya dapat memulihkan semangat juang selepas memenangi dua set berikutnya. Jika tidak mungkin terpaksa mengalah,” katanya yang akan menentang Stewart Boswell dari Australia, pilihan keempat kejohanan dalam separuh akhir selepas menumpaskan Omar Mosaad dari Mesir, semalam.

Separuh akhir lelaki dan wanita bermula 4.30 petang hingga 8 malam hari ini.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4znpfrlRU

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan