Sabtu, 23 September 2017

Rekod kebal Nicol lebur



ARKIB : 29/04/2007

KUALA LUMPUR – Rekod tanpa kalah ratu skuasy negara, Nicol David akhirnya lebur sekali gus kempunan meraih gelaran keempat tahun ini pada Terbuka Seoul, semalam.

Turut mengejutkan ialah kekalahan Nicol yang begitu mudah kepada musuh ketat, Natalie Grinham dari Australia 4-9, 4-9, 0-9 pada perlawanan akhir kejohanan yang bernilai AS$50,000 (RM171,025) dalam tempoh 43 minit.

Kejayaan Natalie, pilihan kedua kejohanan di Plaza Seoul ini turut menebus empat siri kekalahannya kepada Nicol yang merangkumi perlawanan akhir Terbuka Dunia (November 2006), Terbuka Kuala Lumpur (Mac lalu), Terbuka Kuwait dan Klasik Qatar (awal bulan ini).

Kekalahan Nicol, 23, bagaimanapun dijangka tidak menggugat kedudukan teratasnya dalam senarai Persatuan Pemain Profesional Wanita Antarabangsa (WISPA) selepas dia mengumpul gelaran Terbuka Kuala Lumpur,Kuwait dan Klasik Qatar.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4tYaSisKf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nicol hampiri gelaran keempat



ARKIB : 28/04/2007

KUALA LUMPUR – Ratu skuasy negara, Nicol David menghampiri gelaran antarabangsa keempatnya tahun ini apabila melangkah ke perlawanan akhir Terbuka Seoul di Plaza Seoul, hari ini.

Semalam, pemain kelahiran Pulau Pinang itu dengan mudah menundukkan pilihan keempat, Jenny Duncalf dari England 9-2, 9-1, 9-4 pada separuh akhir kejohanan bernilai AS$50,000 (RM171,025) itu.

Hari ini, Nicol yang juga pemain nombor satu dunia akan menentang pemenang dalam satu lagi separuh akhir antara pilihan kedua kejohanan, Natalie Grinham dari Australia dengan seorang lagi pemain England, Tania Bailey.

Dalam laluan ke perlawanan akhir, pemain Malaysia berusia 23 tahun ini menewaskan Latasha Khan (Amerika Syarikat) 9-3, 9-1, 9-2 dalam pusingan pertama dan Alison Waters (England) 9-4, 9-5, 9-4 pada suku akhir.

Sebelum ini, Nicol mengumpul gelaran Terbuka Kuala Lumpur, Terbuka Kuwait dan Klasik Qatar.

Kali terakhir Nicol tewas ialah kepada pemain New Zealand, Shelley Kitchen pada perlawanan penentuan pingat gangsa Sukan Komanwel di Melbourne, Mac lalu.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tYVIZC1M
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nicol juara Qatar Klasik



ARKIB : 18/04/2007
 
MANTAP... Aksi Nicol David (kiri) ketika menewaskan Natalie Grinham dari Australia pada perlawanan akhir Terbuka Kuala Lumpur, Mac lalu. Nicol mengulangi kejayaan apabila menewaskan lawan yang sama pada final Terbuka Qatar Klasik di Doha, semalam. Nicol menang 9-7, 2-9, 9-7, 9-2..

KUALA LUMPUR – Ratu skuasy negara, Nicol Ann David meraih gelaran ketiganya tahun ini apabila menjuarai acara perseorangan wanita Terbuka Qatar Klasik di Doha, semalam.

Kejayaan menewaskan pemain Australia, Natalie Grinham 9-7, 2-9, 9-7, 9-2 pada perlawanan akhir itu membolehkan Nicol, 24, menambah koleksi kejuaraan selepas Terbuka Kuala Lumpur bulan lalu dan Terbuka Kuwait, minggu lalu.

Kemenangan tersebut juga mengulangi kejayaan Nicol yang turut menewaskan Natalie, 29, pada perlawanan akhir Terbuka Kuwait sebelum ini.

Bezanya kemenangan yang dicatat pemain nombor satu dunia itu, semalam lebih mudah apabila hanya mengambil masa 69 minit untuk muncul juara.

Ini jauh berbanding ketika dipaksa Natalie bekerja keras sebelum menang 9-6, 10-8, 2-9, 9-1 dalam masa 93 minit di Terbuka Kuwait tempoh hari.

Penganjur Terbuka Qatar Klasik menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM287,000 untuk acara perseorangan wanita ini.

Ternyata usia memisahkan kemampuan antara Nicol dan Natalie apabila pemain negara itu lebih banyak menguasai rentak permainan.

Ini dibuktikan pada set pertama apabila Nicol pada satu ketika ketinggalan 6-0 sebelum mengejar dari belakang untuk menang 9-7.

Set kedua juga, pemain nombor dua dunia dari Australia itu jauh mendahului tetapi kali ini Natalie tidak membenarkan Nicol memintasnya untuk menang mudah 9-2.

Bagaimanapun, permainan set ketiga menyaksikan saingan sebenar dipamerkan kedua-dua pemain apabila saling kejar mengejar mata sebelum Nicol lebih bertenaga untuk menang 9-7.

Keletihan jelas menguasai Natalie di set keempat apabila Nicol yang mula bermain secara menyerang mudah mendahului 8-0.

Walaupun Natalie berjaya memungut dua mata selepas itu, namun ia sudah terlewat untuk menyekat Nicol daripada menamatkan permainan dengan 9-2 dan muncul juara.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tWeU6hE8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nicol terus maju



ARKIB : 16/04/2007

KUALA LUMPUR – Olahragawati Kebangsaan 2006, Nicol David menghampiri gelaran ketiganya tahun ini dengan mara ke separuh akhir Klasik Qatar dengan menewaskan pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy, semalam.

Ratu skuasy negara kelahiran Pulau Pinang dan berusia 23 tahun itu menang 9-1, 9-0, 9-3 pada perlawanan suku akhir yang cuma memakan masa 22 minit di Pusat Skuasy Khalifa, Doha, Qatar itu.

Nicol, juara Terbuka Kuala Lumpur (bulan lalu) dan Terbuka Kuwait, minggu lalu, akan menentang pemain England, Tania Bailey pada separuh akhir hari ini.

Sementara itu, pemain utama lelaki negara, Ong Beng Hee sekadar terdaya pada pusingan kedua setelah dikalahkan pemain Australia, David Palmer 7-11, 9-11, 4-11 selepas 46 minit.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4tWalxyM8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nicol ke suku akhir



ARKIB : 15/04/2007

KUALA LUMPUR – Ratu skuasy negara, Nicol David mudah ke perlawanan suku akhir Qatar Klasik selepas menewaskan pemain Belanda, Annelize Naude.

Nicol hanya memerlukan kurang setengah jam untuk melepasi rakan sepelatihnya itu di Amsterdam, 9-3, 9-0, 9-3 dalam perlawanan pusingan kedua di Pusat Skuasy Khalifa, Doha, semalam.

Pada suku akhir hari ini, pemain kelahiran Pulau Pinang itu akan menentang pilihan keempat kejohanan, Tania Bailey dari England yang menewaskan pemain New Zealand, Shelley Kitchen 9-3, 9-7, 2-9, 9-3.

Nicol yang juga pemain nombor satu dunia dan pilihan utama kejohanan, kini memburu gelaran ketiga tahun ini selepas menjuarai Terbuka Kuala Lumpur, bulan lalu dan Terbuka Kuwait, beberapa hari lalu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4tWW9gaKM
© Utusan Melayu (M) Bhd