Sabtu, 23 September 2017

Nicol rangkul gelaran kedua



 
ARKIB : 13/04/2007
NICOL DAVID bersama trofi Terbuka Kuwait yang dimenanginya, semalam.

KUALA LUMPUR – Pemain nombor satu dunia, Nicol David merangkul kejuaraan antarabangsa keduanya tahun ini selepas mempertahankan gelaran skuasy Terbuka Kuwait, semalam.

Malah, buat kali ketiga berturut-turut, Nicol berjaya mengecewakan musuh tradisi dan pemain nombor dua dunia, Natalie Griham dalam saingan akhir.

Selepas menumpaskan Grinham pada final Terbuka Kuala Lumpur CIMB, bulan lalu, Nicol mengalahkan jaguh Australia itu 9-6, 10-8, 2-9, 9-1 untuk membawa pulang kejuaraan di Kuwait.

Nicol, yang turut menewaskan Grinham dalam perlawanan akhir Terbuka Dunia di Belfast, tahun lalu kini melebarkan rekod tanpa kalah kepada 35 perlawanan profesional.

“Saya sangat gembira berjaya menang buat kali kedua di sini, dan mempertahankan kejuaraan. Ini adalah minggu yang amat hebat.

“Saya sangat, sangat gembira dengan kualiti permainan hari ini, terutama di dua set pertama biarpun saya menghadapi cabaran yang sukar,’’ kata Nicol.

Pada set pertama, perlawanan berlangsung dengan amat rapat sepanjang masa dan Nicol memerlukan 25 minit untuk menang 9-6.

Nicol mendahului 5-0 di set kedua, namun Grinham bangkit merapatkan kedudukan 5-4 dan mengheret permainan sehingga 30 minit sebelum tunduk 8-10.

Grinham menyebabkan peminat-peminat Nicol, yang memenuhi hampir sebahagian besar tempat duduk penonton terdiam seketika apabila berjaya menundukkan juara dunia itu 9-2.

Bagaimanapun, ia hanya taktik Nicol, yang kemudian tampil dengan persembahan lebih agresif pada set keempat untuk menang mudah 9-1.

“Ia amat mengecewakan. Saya berada di depan pada set pertama dan kedua tetapi tidak percaya bahawa saya boleh mensia-siakan kelebihan itu.

“Saya patut lebih bertenaga, saya harap perlawanan dapat ditamatkan hanya dalam masa sejam,’’ kata Grinham.

Nicol, 23, yang kini memburu kejuaraan ketiga pada Qatar Classic di Doha bermula hari ini, kali terakhir kalah dalam kejohanan profesional adalah Februari lalu, iaitu di final Terbuka KL.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tWKQU0YU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan