Jumaat, 22 September 2017

Nicol juara



ARKIB : 18/03/2007
Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI
 
NICOL David menjulang piala kemenangan selepas muncul juara di Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB selepas menewaskan Natalie Grinham dari Australia dalam perlawanan akhir di Berjaya Times Suare, semalam. Nicol menang 6-9, 9-3, 9-6, 7-9, 9-6. – Gambar MOHD SHAHARANI SAIBI.

KUALA LUMPUR – Juara dunia, Nicol David merangkul kejuaraan keempat pada kejohanan skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB semalam, selepas menumpaskan musuh tradisi, Natalie Grinham dari Australia pada perlawanan sengit di Berjaya Times Square, semalam.

Nicol, juara kejohanan pada 2000, 2002 dan 2005 diheret bertarung selama satu jam 42 minit sebelum menewaskan pemain nombor dua dunia, Grinham 6-9, 9-3, 9-6, 7-9, 9-6.

Ini merupakan kejuaraan pertama Nicol untuk tahun 2007, tiga bulan selepas menghadiahkan pingat emas buat Malaysia pada Sukan Asia di Doha, Disember lalu.

Kemenangan itu juga mengukuhkan kedudukan ratu skuasy negara itu sebagai pemain nombor satu dunia dan membolehkannya memenangi AS$6,650 (RM23,474), manakala Grinham membawa pulang AS$4,725 (RM16,680).

“Memulakan cabaran 2007 dengan kejuaraan adalah sesuatu yang amat hebat, dan tambah menakjubkan lagi ia dilakar di negara sendiri.

“Saya bangga dengan kemenangan ini, terima kasih yang tidak terhingga kepada peminat tanah air yang telah memberikan sokongan padu kepada saya sejak awal kejohanan,’’ kata Nicol, yang kini melebarkan rekod kemenangan profesional kepada 31 perlawanan.

Menurut Nicol, biarpun terpaksa mengharungi pertarungan sengit dengan Grinham, dia berpuas hati kerana perlawanan berlangsung dengan amat menarik, sekaligus mempromosikan lagi skuasy di negara ini.

Ini merupakan kali kedua berturut-turut, Nicol diheret oleh Grinham beraksi dalam perlawanan sengit dan mendebarkan, mengulangi pertemuan akhir kedua-dua pemain pada kejohanan Terbuka Dunia tahun lalu, di mana Nicol menang 1-9, 9-7, 3-9, 9- 5, 9-2

Kata Nicol, kedua-dua pemain mempamer mentaliti yang tinggi, namun rentak permainan Grinham lebih baik di awal saingan, manakala dia gagal mencari rentak sendiri hingga suatu ketika ketinggalan ketinggalan 0-6 sebelum tewas 6-9 di set pembukaan.

“Saya hanya menemui rentak pada set kedua, tetapi Natalie nampaknya memilih untuk memberi tentangan terhebat dalam tiga set berikutnya.

“Ia memang amat meletihkan, apatah lagi kami banyak bermain rali, namun dari sudut positif, ia baik untuk perkembangan skuasy di Malaysia. Penonton dapat melihat satu permainan yang menarik,’’ kata Nicol, yang kini memegang rekod kemenangan 6-2 ke atas Grinham.

Sementara itu pemain Mesir, Mohammed Abbas merangkul kejuaraan pertama daripada empat percubaannya di Malaysia dengan muncul juara lelaki.

Abbas melengkapkan siri kejutan dengan menundukkan pilihan ketiga, Stewart Boswell dari Australia 11-6, 11-5, 11-5 hanya dalam masa 34 minit.

Kemenangan tersebut membolehkan pemain pilihan keempat itu membawa pulang AS$5,700 (RM20,121), sementara Boswell memperoleh AS$3,900 (RM13,767).

“Selepas empat kali bertanding di Malaysia, akhirnya saya berjaya juga membawa pulang kejuaraan, ia memberi satu kepuasan.

“Saya menjangkakan satu pertarungan yang sengit hari ini tetapi tidak sangka laluannya lebih mudah daripada yang saya fikirkan,’’ kata Abbas.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tPUGqaBT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan