Jumaat, 22 September 2017

Nicol ketuai tiga pemain ke suku akhir



ARKIB : 15/03/2007

KUALA LUMPUR – Ketiga-tiga pemain skuasy utama negara berjaya melepasi halangan masing-masing di pusingan awal Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur 2007 untuk mara ke peringkat suku akhir.

Pada pusingan pertama bagi undian utama yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil semalam, Ong Beng Hee menjadi pemain pertama Malaysia mara apabila dengan mudah menumpaskan rakan senegara, Nafzahizam Adnan (pemain wild card) dengan 11-5, 11-2 dan 11-5.

“Saya tidak hadapi kesukaran menentang Nafzahizam. Dia kelihatan agak gugup dalam perlawanan ini dan saya gunakan peluang ini untuk bermain dengan baik,” katanya.

Beng Hee akan bertemu pemain pilihan utama kejohanan, Nick Matthew dari England, yang juga pemain ranking ketujuh dunia.

“Saya seboleh-bolehnya tidak mahu rasa tertekan bila bertemu dengan Nick esok (hari ini). Peluang untuk menang itu ada dan untuk memenanginya,q peluang saya 50-50. Kalau saya dapat kalahkan dia, ia satu bonus bagi saya,” kata Beng Hee.

Sementara itu Mohamed Azlan Iskandar juga berjaya menempah tiket ke suku akhir selepas menumpaskan Omar Mosaad dari Mesir.

Pada perlawanan set pertama Mohamed Azlan berjaya mengatasi Omar dengan 11-8 tetapi pada dua set berikutnya, Omar telah mengajak Mohamed Azlan untuk bermain dalam mata penentuan.

Dalam kategori wanita, ratu skuasy negara Nicol Ann David menepati ramalan untuk meneruskan persaingan ke peringkat seterusnya apabila berjaya menumpaskan Jenny Duncalf dari England dengan 9-6, 9-6 dan 9-4 dalam 32 minit.

Nicol akan bertemu Madeline Perry dari Ireland pada pertemuan suku akhir esok yang akan berlangsung di Berjaya Times Square. Perry sebelum itu menumpaskan Shelly Kitchen dari New Zealand, 9-7, 9-3 dan 9-1.

“Secara keseluruhannya perlawanan agak mencabar kerana Jenny bermain dengan baik. Ia bukan perlawanan yang mudah. Ia merupakan antara perlawanan pusingan pertama yang paling sukar yang pernah saya hadapi,” kata Nicol selepas perlawanan itu.

Nicol, meraih gelaran juara dunia akhir tahun lepas, berkata beliau amat teruja dengan prospek bermain di peringkat suku akhir dalam gelanggang kaca di Berjaya Times Square, kerana bukan mudah untuk bermain dalam kompleks beli-belah.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tP93UfA8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan