Sabtu, 9 September 2017

Nicol akui cukup teruji



ARKIB : 28/11/2006

KUALA LUMPUR – Ratu skuasy negara, Nicol Ann David nyaris terlepas kejuaraan Terbuka Wanita Dunia dengan strategi ‘serang dan sekat’ Natalie Grinham pada perlawanan akhir di Dewan Ulster, Belfast, Ireland Utara, kelmarin.

Pemain Australia yang juga pilihan keempat kejohanan turut sempat membingungkannya, memaksanya banyak bertahan malah benar-benar menguji ketahanan mental dan emosinya sepanjang tempoh 98 minit permainan yang disulami rali panjang itu.

Strategi garang Natalie juga mendesak Nicol tersalah langkah beberapa kali, melakukan pukulan yang serba tidak menjadi sehingga terpaksa memilih jalan selamat supaya keadaan tidak bertambah buruk.

Namun berkat kesabaran mengawal permainan dan kepintaran mengkaji lawan, pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 23 tahun ini tetap berjaya memenuhi harapan jutaan peminat sukan Malaysia termasuk segelintir pelajar negara yang menyaksikan perlawanan itu di Dewan Ulster.

“Saya sangsi dengan pukulan saya apabila dia sentiasa sahaja berjaya mengembalikannya. Saya berusaha agar tidak lagi memberikan peluang itu dan hanya menunggu tetapi dia tidak memberi peluang kepada saya untuk menyerang.

“Pada set kelima, saya perlu mendahului dengan mata secukupnya. Ia menuntut banyak kesabaran,” kata Nicol, mengulas kemenangan 1-9, 9-7, 3-9, 9-5, 9-2 sekali gus menjadi wanita sulung Asia mempertahankan kejuaraan itu.

“Inilah kali pertama saya menjuarainya sebagai pemain nombor satu dunia dan penyandang gelaran,” katanya yang turut meraih ganjaran AS$17,000 (RM61,791) dan bakal ditambah dengan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) bernilai RM20,000.

Emosi

Tidak hairanlah mengapa Nicol begitu emosi selepas perlawanan. Tangisan perlahan dan lembutnya tidak mampu ditahan lagi sehingga memaksa Natalie dengan semangat kesukanan, kembali ke gelanggang untuk menenangkan lawan.

Kata Natalie: “saya masuk ke gelanggng dengan satu pelan permainan yang berbeza daripada semua perlawanan lain kerana Nicol seorang pemain yang lain daripada yang lain dan perlawanan ini mencabar sepanjang masa.

“Saya tahu dia akan bergerak ke segenap tempat dan berharap dapat memenatkannya. Malah keadaan mungkin berlainan jika saya memenangi set kedua walaupun dua set yang saya menang itu turut mencabar.

“Namun saya begitu kecewa kerana gagal memenangi set keempat. Dia berlepas dengan baik pada set kelima dan saya cuba membuat pukulan jatuhan jarak jauh tetapi tidak menjadi,” jelas juara Sukan Komanwel Melbourne, Mac lalu ini.

Ketika Natalie cuba bangkit dengan menerapkan pelan asalnya, Nicol sudah terlalu jauh ke depan.

“Dia bermula dengan begitu baik pada set penentuan. Saya sedih bercampur gembira dengan keputusan ini. Saya sudah melakukan yang terbaik dan saya tidak fikir dia lebih baik daripada saya.

‘‘Memang saya kecewa tetapi saya telah berjuang habis-habisan,” kata Natalie.

Bagaimanapun Natalie mengakui, Nicol memang berhak memenanginya kerana kepantasannya sehingga dia yang cuma meraih ganjaran AS$11,500 (RM41,802) sebagai naib juara, tidak mampu berbuat apa-apa.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4sEatfjaL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan