Sabtu, 9 September 2017

Nicol mara



ARKIB : 25/11/2006

KUALA LUMPUR – Ratu skuasy negara, Nicol David menepati ramalan selaku juara bertahan dan pilihan utama dengan menempah tiket suku akhir Terbuka Dunia di Dewan Ulster, Belfast, Ireland, kelmarin.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu juga tidak menghadapi banyak masalah untuk menewaskan pemain Mexico, Samantha Teran 9-2, 9-1, 9-0 selepas beraksi selama 25 minit pada pusingan kedua itu.

Nicol, 23, akan menentang pilihan kesembilan kejohanan bernilai AS$112,500 (RM412,875), Omneya Abdel Kawy. Terdahulu, pemain nombor satu Mesir ini mengejutkan pilihan kelima dari England, Vicky Botwright 10-9, 10-9, 9-7.

Nicol yang kali terakhir menjuarai Terbuka Hong Kong, berkata, dia hanya memastikan tumpuannya sentiasa kepada perlawanan selain mengawasi Samantha agar tidak mudah terikut dengan rentak permainannya.

“Saya cuma kekalkan tumpuan, banyak bertahan dan memastikan perlawanan ini tidak menjadi seperti pusingan pertama yang agak mencabar (menentang Lauren Briggs dari England).

“Dia mengejutkan Engy Kheirallah (pilihan ke-12 dari Mesir) dan saya tidak boleh mengambil mudah dengannya. Saya pasti perit jika dia tiba-tiba mendapat angin baru,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4sEWwqwBq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan