Sabtu, 9 September 2017

Nicol David langkah kanan



ARKIB : 24/11/2006

BELFAST – Ratu skuasy negara, Nicol David mempamerkan permulaan yang baik dalam usahanya mempertahankan gelaran skuasy Terbuka Dunia di sini, semalam.

Nicol, 23, mudah mengetepikan cabaran Lauren Briggs 9-4, 9-5, 9-4 walaupun menerima tentangan sengit pada set kedua permainan.

Briggs yang memanfaatkan pengalaman dalam dua perlawanan kelayakan mendahului Nicol 5-1 pada set kedua sebelum pemain nombor satu dunia itu bangkit dengan permainan pantas.

‘‘Laura bermain dengan baik dan dia lebih banyak menggunakan peluang pada set kedua untuk mendahului saya. Bagaimanapun saya gembira penguasaannya itu tidak lama.

‘‘Saya begitu fokus dalam perlawanan semalam. Lega apabila anda menang pada perlawanan tersebut,’’ kata Nicol yang mengakui teruja bermain di gelanggang yang diperbuat daripada kaca di Ulster Hall, di sini.

Lawan Nicol selepas ini ialah Samantha Teran dari Mexico yang mengatasi pemain Mesir, Engy Kheirullah yang juga pilihan ke-12, 9-5, 9-5, 9-1.

Pada perlawanan sebelah pagi, seorang lagi pemain Mesir, Raneem el Weleily membuktikan dia bakal muncul pencabar yang digeruni pada masa hadapan apabila memaksa jaguh Australia, Rachel Grinham bermain rali sebelum tewas 9-1, 9-5, 8-10, 10-8.

‘‘Dia sering menukar corak permainan terutamanya pada game ketiga. Dia gemar bermain perlahan mengikuti corak saya.

‘‘Saya tidak sangka terpaksa bergelut untuk mengatasi pemain muda seperti Raneem. Dia fokus kepada permainan,’’ kata Grinham.

Kemenangan semalam membolehkan Grinham berdepan dengan Rebecca Chiu dari Hong Kong.

Chiu yang diletakkan sebagai pemain pilihan pada Sukan Asia di Doha menewaskan lawannya dari Ireland, Laura Mylotte 9-1, 9-2, 10-9.

Dalam pada itu, dua lagi pemain pilihan, Jenny Duncalf dari England dan Annelize Naude dari Belanda tewas kepada lawan masing-masing.

Naude selaku pilihan ke-16 tewas 9-1, 5-9, 10-9, 9-7 kepada pemain pilihan keenam dari Australia, Kasey Brown.

Duncalf pula tewas 9-4, 9-4, 10-9 kepada Nicolette Fernandes.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sET3Mphx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan