ARKIB : 26/11/2006
KUALA LUMPUR - Pemain nombor
satu dunia, Nicol David menepati ramalan apabila menempah pertemuan dengan
musuh tradisinya, Rachael Grinham dari Australia pada separuh akhir hari ini
dalam usaha mempertahankan kejuaraan skuasy Terbuka Dunia di Belfast, Ireland
Utara semalam.
Nicol, 23, terus mempamer aksi
meyakinkan di Ulster Hall dengan melebarkan rekod kemenangan kepada 25
perlawanan berturut-turut, mengetepikan cabaran pilihan ketujuh, Omneya Abdel
Kawy dari Mesir 10-9, 9-2, 9-4 dalam masa 32 minit.
Pertemuannya dengan Grinham,
pilihan ketiga kejohanan bagaikan ulangan perlawanan akhir Terbuka Dunia di
Hong Kong tahun lalu, di mana Nicol menang 8-10, 9-2, 9-6, 9-7.
Esok (hari ini) adalah
perlawanan yang besar, bagaimanapun saya sudah bersedia sepenuhnya untuk
berdepan Rachael dan menjangkakan pelbagai kemungkinan kerana kedua-dua kami
amat arif dengan corak permainan masing-masing.
Saya semakin selesa bermain di
gelanggang kaca dan harap perasaan itu akan dapat diteruskan sehingga akhir
kejohanan. Saya rasa tumpuan saya lebih baik dan bertambah baik selepas
mengharungi tiga perlawanan, kata Nicol.
Grinham, 29, yang telah bertemu
Nicol sebanyak 16 kali dan kalah dalam 11 pertemuan mereka melangkah ke separuh
akhir selepas mengetepikan pemain England, Laura Lengthorn 9-2, 9-3, 9-6.
Satu lagi perlawanan separuh
akhir akan menemukan adik Grinham dan pilihan keempat, Natalie Griham dengan
Natalie Grainger dari England, pemain pilihan ke-14 yang telah mengejutkan
bekas juara dunia, Vanessa Atkinson dari Belanda pada pusingan ketiga kelmarin.
Grinham menundukkan rakan
senegara Grainger, Tania Bailey 9-5, 10-8, 9-5 dalam laluan ke separuh akhir,
manakala Grainger menyingkirkan pemain harapan tuan rumah, Madeline Perry 9-2,
9-4, 9-5.
Dalam perlawanan semalam, Nicol
bergelut dengan permainannya pada set pembukaan apabila pukulan-pukulan pendek
Omneya kerap memerangkap dan mendorongnya melakukan kesilapan, meskipun
seketika mendahului saingan 5-0.
Selepas bermula dengan amat
pantas dan mengutip lima mata berturut-turut, Omneya mengejutkan pemain nombor
satu dunia itu dengan pukulan pendek yang membolehkannya mengejar dan
mendahului 8-5.
Saya tahu Omneya akan bermain
dengan pukulan pendek, jika saya terus memberinya ruang saya akan berdepan
masalah. Jadi saya bekerja keras untuk menghalangnya dan mendorong dia
melakukan sebanyak mungkin kesilapan, mujurlah ia menjadi.
Apabila saya ketinggalan pada
set pertama, saya sedar... jika saya tidak melakukan sesuatu dia akan terus
melakukan pukulan-pukulan pendek dan mungkin memaksa saya membuat silap, kata
Nicol.
Menurut Nicol lagi, tumpuannya
bertambah baik pada set kedua, diikuti set ketiga, sekaligus menyukarkan Omneya
mencari ruang untuk mengutip mata.
Sementara itu Grinham percaya,
dia akan turun dengan lebih selesa apabila berdepan Nicol kerana semua tekanan
kini di bahu Nicol untuk mempertahankan kejuaraannya.
Malah Grinham juga menegaskan,
dia tidak gusar dengan ranking nombor satu yang dimiliki pemain Malaysia itu,
malah tidak gusar melihat rekod 25 kemenangan tanpa kalah yang dicatat Nicol
sejak April lalu.
Nicol sedang mengharungi detik
yang baik, saya sedar itu semua tetapi saya tidak pernah peduli dengan rekod,
rankingnya atau apa yang telah dicapainya sebelum kejohanan ini bermula. Saya
hanya mahu mencari jalan untuk menewaskannya, kata Grinham.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4sEY75GI0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan