Jumaat, 8 September 2017

Nicol ke separuh akhir



ARKIB : 21/10/2006

KUALA LUMPUR – Ratu skuasy negara, Nicol David terus mengibarkan cabaran Jalur Gemilang dalam Terbuka Hong Kong apabila mara ke separuh akhir dengan menumpaskan pemain Ireland, Madeline Perry 9-4, 10-8, 9-2, semalam.

Nicol, 23, yang memburu gelaran kelima tahun ini, hanya memerlukan lebih kurang setengah jam untuk menewaskan Madeline yang juga pilihan kelapan kejohanan pada suku akhir di Pusat Skuasy Hong Kong.

Sepanjang tahun ini, dia menggondol gelaran Kejohanan Asia di Taipei, Cabaran Qatar Airways di Hyderabad, Terbuka Malaysia, Terbuka Pulau Pinang dan Terbuka Britain di Nottingham.

Terbuka Hong Kong yang bertaraf Platinum dan antara yang paling popular di kalangan jaguh dunia, menawarkan ganjaran berjumlah RM321,693 untuk pemain wanita.

Nicol yang juga pilihan utama kejohanan dan nombor satu dunia ini akan menentang pilihan ketiga, Rachael Grinham dari Australia yang menewaskan pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy 9-5, 7-9, 9-0, 9-3 selepas 40 minit.

Pemain England, Tania Bailey pula menewaskan Vanessa Atkinson dari Belanda 9-5, 9-1, 9-5 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Bailey akan menentang rakan senegara, Vicky Botwright yang menewaskan adik Rachael, Natalie 0-9, 9-3, 9-1, 9-5.

Dua lagi pemain wanita Malaysia, Tricia Chuah dan Sharon Wee di samping pemain lelaki, Ong Beng Hee dan Azlan Iskandar sudah tersingkir sejak pusingan pertama lagi

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1021&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4s5Ojggpx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan