ARKIB : 23/11/2006
KUALA LUMPUR Pemain nombor
satu dunia, Nicol David bersedia berdepan apa saja apabila menentang pemain
pusingan kelayakan, Lauren Briggs dari England pada pusingan pertama skuasy
Terbuka Dunia di Belfast, awal pagi ini.
Nicol, 23, turun mempertahankan
kejuaraan yang dimenangi di Hong Kong tahun lalu dengan memegang rekod 22
perlawanan tanpa kalah sejak, April lalu.
Terbuka Dunia adalah kejohanan
yang besar, kalau anda berlatih gigih untuk untuk menyiapkan diri, begitu juga
dengan pemain-pemain lain.
Bagaimanapun sebaik saja anda
berada di sini, apa yang mahu anda lakukan adalah melepasi semua halangan,
katanya ketika ditemubual wartawan tempatan di Belfast, Ireland Utara, semalam.
Menurut Nicol, dia telah
menyediakan dirinya untuk menghadapi sebarang cabaran yang tidak diduga pada
pusingan pertama kerana bakal menentang lawan kurang dikenali dari pusingan
kelayakan.
Bagi Nicol, pusingan pembukaan
biasanya memberikan cabaran yang lebih sukar daripada dijangkakan kerana kurang
memahami corak permainan lawan.
Saya perlu bersedia
sepenuhnya, saya telah bersedia untuk menghadapi apa saja yang tidak dijangka,
kata Nicol.
Nicol, yang berjaya
mempertahankan kejuaraan Terbuka Britain, September lalu merupakan calon utama
untuk memenangi anugerah Pemain Wanita Terbaik Dunia 2006.
Tahun lalu, pemain kelahiran
Pulau Pinang itu menerima anugerah Pemain Muda Wanita Terbaik Dunia 2005
selepas kejayaan muncul juara dunia, Terbuka Britain dan pemain nombor satu
dunia.
Cabaran Malaysia pada kejohanan
bernilai AS$112,500 (RM410,000) itu turut dipikul oleh Sharon Wee yang akan
menentang pilihan ketujuh, Tania Bailey dari England, awal pagi ini.
Cabaran Tricia Chua
bagaimanapun berakhir selepas tumpas 9-5, 2-9, 3-9, 0-9 kepada pemain Mexico,
Samantha Teran di pusingan akhir kelayakan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sEN47Zw9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan