Sabtu, 23 September 2017

Nicol juara Qatar Klasik



ARKIB : 18/04/2007
 
MANTAP... Aksi Nicol David (kiri) ketika menewaskan Natalie Grinham dari Australia pada perlawanan akhir Terbuka Kuala Lumpur, Mac lalu. Nicol mengulangi kejayaan apabila menewaskan lawan yang sama pada final Terbuka Qatar Klasik di Doha, semalam. Nicol menang 9-7, 2-9, 9-7, 9-2..

KUALA LUMPUR – Ratu skuasy negara, Nicol Ann David meraih gelaran ketiganya tahun ini apabila menjuarai acara perseorangan wanita Terbuka Qatar Klasik di Doha, semalam.

Kejayaan menewaskan pemain Australia, Natalie Grinham 9-7, 2-9, 9-7, 9-2 pada perlawanan akhir itu membolehkan Nicol, 24, menambah koleksi kejuaraan selepas Terbuka Kuala Lumpur bulan lalu dan Terbuka Kuwait, minggu lalu.

Kemenangan tersebut juga mengulangi kejayaan Nicol yang turut menewaskan Natalie, 29, pada perlawanan akhir Terbuka Kuwait sebelum ini.

Bezanya kemenangan yang dicatat pemain nombor satu dunia itu, semalam lebih mudah apabila hanya mengambil masa 69 minit untuk muncul juara.

Ini jauh berbanding ketika dipaksa Natalie bekerja keras sebelum menang 9-6, 10-8, 2-9, 9-1 dalam masa 93 minit di Terbuka Kuwait tempoh hari.

Penganjur Terbuka Qatar Klasik menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM287,000 untuk acara perseorangan wanita ini.

Ternyata usia memisahkan kemampuan antara Nicol dan Natalie apabila pemain negara itu lebih banyak menguasai rentak permainan.

Ini dibuktikan pada set pertama apabila Nicol pada satu ketika ketinggalan 6-0 sebelum mengejar dari belakang untuk menang 9-7.

Set kedua juga, pemain nombor dua dunia dari Australia itu jauh mendahului tetapi kali ini Natalie tidak membenarkan Nicol memintasnya untuk menang mudah 9-2.

Bagaimanapun, permainan set ketiga menyaksikan saingan sebenar dipamerkan kedua-dua pemain apabila saling kejar mengejar mata sebelum Nicol lebih bertenaga untuk menang 9-7.

Keletihan jelas menguasai Natalie di set keempat apabila Nicol yang mula bermain secara menyerang mudah mendahului 8-0.

Walaupun Natalie berjaya memungut dua mata selepas itu, namun ia sudah terlewat untuk menyekat Nicol daripada menamatkan permainan dengan 9-2 dan muncul juara.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tWeU6hE8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan