Arkib
ARKIB : 04/03/2009
KUALA LUMPUR - Ratu skuasy dunia,
Datuk Nicol David tetap mahu beraksi walaupun bakal berusia 32 tahun jika sukan
kesayangannya itu dipertandingkan pada Sukan Olimpik 2016 selepas tuan rumahnya
diumumkan dalam Kongres Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Copenhagen,
Oktober ini.
Gadis cilik kelahiran Pulau
Pinang ini juga bersedia menyambar ruang menyertai Olimpik sambil menjanjikan
keazaman untuk memastikan skuasy diterima pada temasya terbesar dunia empat
tahun sekali itu dengan kerjasama pemain handalan dunia lain menjelang bidaan
tuan rumah tersebut.
"Saya akan cari jalan untuk
ke Olimpik jika ia diterima. Namun banyak kerja keras perlu kami pemain lakukan
untuk menjayakannya," kata Nicol, 25, pada sidang akhbar dan majlis
penyerahan penajaan Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur kepada Persatuan Skuasy
Reket Malaysia (SRAM) di Bangunan CIMB di sini, semalam.
Juara kejohanan bertaraf Emas 45
dalam sirkit Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (WISPA) sebanyak lima
kali ini, akan mempertahankan gelaran dengan menentang Madeline Perry dari
Ireland pada pusingan pertama di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Turut beraksi ialah rakan
senegara, Sharon Wee yang mungkin terpaksa ditentangnya pada suku akhir esok,
di samping gandingan bersaudara tetapi sudah berbeza kerakyatan, Natalie
(Belanda) dan Rachael Grinham (Australia) yang juga pemain nombor dua dan tiga
dunia.
Terbuka Kuala Lumpur merupakan
aksi sulung Nicol pada tahun ini setelah Terbuka Apawamis di New York, Amerika
Syarikat yang setiap tahunnya menjadi gelanggang pembuka tirai tidak dapat
dilangsungkan kerana kegawatan ekonomi yang melanda dunia ketika ini.
Namun hanya tujuh kejohanan yang
dimenangi tahun lalu, bakal dipertandingkan semula dan disahkan dalam kalendar
WISPA tetapi pemain utama dunia ini masih berazam untuk bermain dan mempertahankan
sekurang-kurangnya 10 gelaran tahun ini.
"Jika masih tidak mencukupi,
saya tidak kisah untuk bermain dalam kejohanan yang bertaraf lebih rendah
tetapi saya percaya ada beberapa kejohanan besar yang bakal diadakan cuma
bergantung kepada rundingan penganjur dan penajaan," katanya.
Nicol mengumpul 10 kejuaraan
sepanjang 2008 iaitu Terbuka Apawamis, Terbuka Kuala Lumpur, Terbuka Britain,
Terbuka Seoul, Terbuka Malaysia, Master Singapura, Terbuka Belanda, Terbuka
Dunia, Klasik Qatar dan Terbuka Hong Kong.
Dia juga merupakan juara Terbuka
Kuala Lumpur 2000, 2002, 2005, 2007 dan 2008. Kali terakhir dia gagal meraihnya
ialah tiga tahun lalu apabila ditewaskan pemain Belanda, Vanessa Atkinson.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz52qBtGWim
© Utusan Melayu (M) Bhd