Isnin, 11 Disember 2017

Skuasy: Nicol hampiri kejuaraan ketiga dunia

ARKIB : 19/10/2008
KUALA LUMPUR – Jaguh skuasy negara, Datuk Nicol David hanya dipisahkan dengan satu lagi perlawanan untuk merangkul kejuaraan dunia buat kali ketiga selepas melangkah ke perlawanan akhir di Manchester, England semalam.

Nicol, yang menjadi calon utama untuk dimahkotakan anugerah Pemain Terbaik Dunia buat kali ketiga tidak menghadapi banyak masalah untuk mengetepikan pilihan ke-14, Madeline Perry dari Ireland 11-6, 11-8, 11-6.

Pemain nombor satu dunia itu bagaimanapun bakal berdepan cabaran sukar daripada pemain harapan tuan rumah, Vicky Botwright dalam final hari ini.

Ramalan awal bahawa Nicol bakal berdepan cabaran adik-beradik Grinham, Rachael atau Natalie pada perlawanan akhir bagaimanapun tidak menjadi kenyataan selepas kedua-dua mereka tersingkir di pusingan kedua dan suku akhir.

Begitupun menentang Botwright, yang memperoleh laluan mudah ketika menewaskan rakan senegara, Jenny Duncalf 11-3, 11-6 sebelum lawannya menarik diri merupakan ujian besar buat Nicol.

Walaupun menang empat daripada lima pertemuan terakhir menentang Botwright, namun bintang veteran England itu yang kini diambang persaraan mempamerkan prestasi menakjubkan sepanjang di Manchester.

Botwright merupakan pemain yang bertanggungjawab menyingkirkan penyandang juara dunia, Rachael di pusingan kedua, selain mengejutkan Alison Waters di suku akhir.

Bagi Nicol, kejutan yang dialami pemain utama seperti Rachael dan Natalie berpunca daripada perubahan format mata yang diperkenalkan buat kali pertama.

“Saya rasa ramai pemain yang mengambil kesempatan dengan penggunaan format mata baru yang tidak memberi kelebihan kepada sesiapa, terutama pemain utama.

“Mereka begitu yakin untuk pukulan dan langsung tidak teragak-agak, sedangkan pemain-pemain utama ini terlalu berhati-hati,’’ akui Nicol.

Bagaimanapun Nicol tetap memuji persembahan Botwright yang cemerlang sepanjang minggu ini, dan menjangkakan tentangan sengit bakal diberi pemain England itu, apatah lagi dia beraksi di depan penyokong sendiri.

“Vicky mempamer prestasi yang amat hebat sepanjang minggu ini, jadi saya boleh menjangkakan dia akan mempamerkan permainan yang sama esok.

“Apa pun, saya gembira dengan permainan saya yang semakin meningkat dari hari ke hari. Saya semakin selesa bermain di d gelanggang kaca dan harap keadaan itu dapat diteruskan hingga esok,’’ ujar Nicol.

Pertemuan dengan Perry semalam lebih mudah berbanding ketika Nicol dipaksa berhempas pulas untuk menyingkirkan bekas juara remaja dunia, Omneya Abdel Karim dari Mesir 11-6, 11-8, 11-6 dalam saingan suku akhir kelmarin.

Sementara itu, saingan lelaki dikejutkan dengan kekalahan pemain nombor satu dunia dan penyandang juara, Amr Shabana dari Mesir.

Amir, yang memburu kejuaraan keempat berturut-turut dikejutkan oleh pemain yang suatu ketika pernah menjadi peminat setianya, Ramy Ashour juga dari Mesir.

Ramy, 21, pilihan keempat kejohanan langsung tidak menunjukkan rasa gemuruh berdepan idolanya itu apabila menang 11-6, 7-11, 7-11, 11-9, 11-7.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1019&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50xIPOREv

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan