ARKIB : 06/09/2008
Nicol David
KUALA LUMPUR - Ratu skuasy
negara, Datuk Nicol David dipaksa berhempas- pulas hampir sejam sebelum
melayakkan diri ke suku akhir Terbuka Belanda di Amsterdam, semalam.
Pemain nombor satu dunia dan
penyandang juara itu memerlukan 58 minit untuk mengetepikan pemain bukan
pilihan, Isabelle Stoehr dari Perancis 11-9, 9-11, 11-6, 11-5.
Nicol, yang memburu kejuaraan
ketujuh berturut-turut dalam sirkit skuasy profesional dunia tahun ini, kini
akan berdepan pemain England, Laura Lengthorn-Massaro.
Lengthorn-Massaro, pilihan
keenam kejohanan turut dipaksa berkerja keras ketika menewaskan lawan dari Hong
Kong, Rebecca Chiu 11-8, 7-11, 11-8, 14-16, 11-7.
Walaupun mengharungi aksi
pembukaan yang mendebarkan, namun bagi Nicol tiada apa yang mencemaskan dengan
permainannya semalam.
"Perlawanan pusingan
pertama biasanya memang seperti ini kerana anda baru hendak menyesuaikan diri
dengan keadaan kejohanan dan gelanggang, lagi pun Isa (Stoehr) memberi ruang
yang terhad untuk saya bergerak.
"Saya memulakan permainan
dengan baik, namun dia merubah corak permainannya pada set kedua, dan tidak
banyak yang dapat saya lakukan ketika itu.
"Saya tahu saya perlu
mengembalikan rentak permainan jika mahu memenangi perlawanan ini, pada
akhirnya semua pukulan dan gerakan saya kembali seperti yang diharapkan,'' kata
Nicol.
Nicol, 25, telah memenangi enam
kejuaraan Wispa (Persatuan Pemain Skuasy Profesional Wanita Antarabangsa)
sepanjang 2008 - Terbuka Apawamis, Kuala Lumpur, Britain, Seoul, Malaysia dan
Singapura Masters.
Sementara itu Lengthorn-Massaro
mengakui, pertemuan dengan Nicol di suku akhir merupakan ujian paling sukar,
apatah lagi selepas dia diheret dalam pertarungan satu jam tujuh minit ketika
menewaskan Rebecca.
"Saya tidak sangka
perlawanan akan berlangsung sesengit ini (menentang Rebecca), dia bermain
dengan lebih baik berbanding sebelumnya dan ia benar-benar mengejutkan.
"Perlawanan ini agak
meletihkan dan ia bukan persiapan yang bagus untuk menghadapi Nicol, apa pun
saya tetap akan memberikan tentangan terbaik di suku akhir,'' kata
Lengthorn-Massaro.
Pemain adik-beradik Grinham,
Natalie dan Rachael turut meneruskan cabaran ke suku akhir dan menjadi calon
utama untuk menentang Nicol di final nanti.
Semalam, Natalie mudah
mengetepikan Lauren Brings dari England 11-2, 11-3, 11-4 untuk bertemu bekas
juara dunia dan rakan senegara dari Belanda, Vanessa Atkinson.
Rachel pula menumpaskan
Dominique Lloyd-Walter dari England 11-6, 11-8, 11-8 untuk menempah pertemuan
dengan seorang lagi pemain England dan pilihan kelapan, Alison Waters.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0906&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50NSZvYAy
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan