ARKIB : 26/11/2008
NICOL David menceritakan pengalaman beraksi di Hong Kong kepada Ismail Sabri Yaakob ketika mengadakan pertemuan di Parlimen, semalam.
- Gambar ZULAZHAR SHEBLEE |
KUALA LUMPUR - "Saya tidak akan bazir masa dan tenaga memikirkan rasa gementar menghadapi lawan, sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada perlawanan dan cuba menumpaskan lawan.'' Itulah rahsia pemain skuasy nombor satu dunia, Datuk Nicol David mengenai kejayaan antarabangsanya ketika ditanya Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam, lapor NOR ZAINAH NORDIN.
Nicol yang mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri di Parlimen mendedahkan perkara itu ketika ditanya adakah dia gementar atau gugup ketika di gelanggang kerana masalah tersebut sering menjadi punca utama kekalahan kebanyakan atlet negara pada perlawanan antarabangsa.
''Itulah rahsia saya. Berikan yang terbaik semasa di gelanggang, kekalkan rentak perlawanan mengikut perancangan dan lawan habis-habisan. Saya tidak mahu orang kata saya main sambil lewa," tambah Nicol.
Nicol yang baru pulang ke tanah air selepas merangkul kejuaraan Terbuka Hong Kong Ahad lalu, menerima ucapan tahniah daripada Ismail Sabri yang turut menyatakan rasa bangga negara terhadap pencapaiannya mengharumkan nama Malaysia di persada skuasy dunia.
Kejayaan Nicol di Hong Kong itu juga merupakan kejuaraan antarabangsa ke-10 berturut-turut tahun ini selain melebarkan rekod tanpa kalahnya kepada 58 perlawanan berturut-turut.
Mengulas mengenai Kejohanan Skuasy Wanita Berpasukan Dunia di Mesir, bermula Ahad ini, ratu skuasy dunia itu berkata, dia tidak sabar-sabar untuk melihat prestasi pasukan negara, namun tidak meletakkan harapan terlalu tinggi menjuarai kejohanan.
Malah, pemain nombor satu dunia itu berkata, sekiranya pasukan Malaysia yang diletakkan dalam Pasukan D - bersama-sama Belanda, Jerman dan Afrika Selatan - menamatkan saingan di kedudukan kelima , ia sudah boleh dianggap sebagai satu keputusan yang baik.
''Pasukan Malaysia semakin kuat dan saya tidak sabar-sabar untuk melihat bagaimana kita beraksi kelak. Saya menjangkakan kejohanan kali ini agak menarik kerana wujud persaingan sengit.
''Namun saya tidak tak mampu untuk berkata apa-apa lagi, kerana ini merupakan perlawanan berpasukan, tidak ada yang boleh dipastikan," katanya.
Pasukan Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan dibarisi oleh Nicol, Sharon Wee, Delia Arnold dan Low Wee Wern.
Mereka perlu menang ke atas pilihan kelima, Belanda untuk mengelak pertemuan dengan juara bertahan, England dan naib juara dua tahun lalu, Mesir di suku akhir. Pencapaian terbaik negara adalah menduduki tempat ketiga pada kejohanan terakhir 2006.
Kejohanan dunia kali ini berlangsung dari 30 November hingga 6 Disember ini dan disertai oleh 19 negara.
Ditanya apakah rancangannya selepas ini, Nicol berkata, dia mahu berehat dan melapangkan masa seketika sebelum kembali beraksi tahun depan.
''Tahun ini sungguh hebat dan menyeronokkan. Inilah tahun terbaik saya setakat ini," katanya.
Sebelum mengakhiri pertemuannya, Nicol berkata, inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke Parlimen dan gembira berada di situ.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan