Isnin, 11 Disember 2017

Nicol gigih teruskan cabaran di Manchester

ARKIB : 16/10/2008
KUALA LUMPUR - Pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David menjadi pemain tunggal negara yang masih meneruskan cabaran Kejohanan Skuasy Terbuka Dunia di Manchester, England apabila mara ke pusingan kedua.

Nicol, pemain pilihan pertama kejohanan tidak memberi ruang kepada pemain senegara, Sharon Wee apabila menang mudah 11-6, 11-3, 11-2 dalam masa 19 minit di pusingan pertama, semalam.

Menanti Nicol di pusingan kedua ialah pemain pilihan ke-13 dari Hong Kong, Rebecca Chiu yang mara ke pusingan kedua selepas menang ke atas pemain tuan rumah Lauren Briggs 8-11, 6-11, 11-5, 11-6, 11-6.

Nicol dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan Chiu untuk mencipta pertembungan dengan kelapan Laura L-Massaro dari England atau pemain Mesir Omneya Abdel Kawy di peringkat suku akhir.

Nicol pernah menjuarai kejohanan Terbuka Dunia dua tahun berturut-turut pada 2005 dan 2006 sebelum terlepas kejuaraan kepada Rachael Grinham dari Australia tahun lalu.

Menurut Nicol, dia agak sukar untuk menyesuaikan diri pada peringkat awal permainan.

"Namun saya hanya beraksi seperti biasa dan terus mencari rentak di sepanjang perlawanan,'' katanya.

Sementara itu, dua wakil lelaki negara masing-masing menamatkan saingan lebih awal.

Ong Beng Hee dan Mohd. Azlan Iskandar tunduk kepada pemain bukan pilihan.

Mohd. Azlan tumpas kepada Kashif Shuja dari New Zealand di pusingan pertama manakala Beng Hee, pilihan ke-10 kejohanan pula tewas di tangan pemain Mesir, Hisham Ashour di pusingan kedua.

Bintang muda negara, Low Wee Wern yang mencatat sejarah apabila pertama kali layak undian utama saingan wanita, kelmarin turut tumpas kepada Kasey Brown di pusingan pertama.

Delia Arnold yang layak ke undian pertama hanya pada penampilan sulung tersekat di pusingan pertama selepas tumpas kepada pilihan keenam dari New Zealand Shelly Kitchen di pusingan pertama.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50wR1oDl9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan