ARKIB : 17/09/2008
Bagi Sharon Wee (kiri) terpaksa
berdepan pemain nombor satu dunia, Nicol David di pusingan pertama bagaikan
menunjuk jalan keluar lebih awal, kecuali beliau bersedia mencipta kejutan
besar dalam kariernya.
KUALA LUMPUR Nasib berbeza
dialami dua pemain utama negara, Datuk Nicol David dan Sharon Wee apabila
terpaksa berentap sesama sendiri pada pusingan pertama kejohanan skuasy Terbuka
Dunia di Manchester, bulan depan, lapor NORZIE MOHD. KHASBI.
Bagi Nicol, 25, menentang
Sharon, pemain bukan pilihan yang hanya menduduki ranking ke-22 dunia merupakan
laluan awal yang mudah.
Namun bagi Sharon, terpaksa
berdepan pemain nombor satu dunia di pusingan pertama bagaikan menunjuk jalan
keluar lebih awal, kecuali beliau bersedia mencipta kejutan besar dalam
kariernya.
Ini merupakan kali kedua,
kedua-dua rakan senegara itu terpaksa bertemu sesama sendiri pada pusingan
pertama tahun ini selepas menerima nasib yang sama di Terbuka Kuala Lumpur, Mac
lalu.
Pertemuan enam bulan lalu itu
berpihak kepada Nicol yang menang 9-2, 9-0, 9-5 dalam laluannya muncul juara.
Ini merupakan sesuatu yang
amat malang buat kami kerana terpaksa bertemu sesama sendiri di peringkat awal,
sudah tentu salah seorang terpaksa pergi lebih awal.
Saya tidak gembira walaupun
dianggap memperoleh laluan mudah dengan bertemu Sharon, kalau boleh biarlah
kami bertemu di peringkat yang lebih jauh, ujar Nicol ketika ditemukan dengan
Sharon enam bulan lalu.
Pada Terbuka Dunia bulan depan,
Nicol, juara 2005 dan 2006 menjadi pilihan utama untuk merampas kejuaraan
daripada jaguh Australia, Rachael Grinham selepas mempamer aksi konsisten
sepanjang tahun ini.
Pemain berusia 25 tahun itu,
yang tewas mengejut kepada Shelly Kitchen dari New Zealand pada pusingan kedua
tahun lalu merupakan pemenang sembilan kejohanan Jelajah WISPA (Persatuan
Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa) tahun ini, termasuk Terbuka Britain.
Jika berjaya melepasi cabaran
Sharon, Nicol, pemain nombor satu dunia selama 26 bulan berturut-turut bakal
bertemu pemenang di antara jaguh Hong Kong, Rebecca Chiu dan Lauren Briggs dari
England.
Di suku akhir, dia dijangka
bertemu pilihan kelapan, Laura Lengthorn-Massaro dari England, yang akan
memulakan saingan dengan berdepan pencabar dari Belanda, Annelize Naude.
Kemenangan ke atas Massaro pula
dijangka menemukan Nicol dengan pemain nombor empat dunia, Natalie Granger dari
Amerika Syarikat di separuh akhir.
Sementara itu Rachael, yang
turun untuk mempertahankan kejuaraan diletak sebagai pilihan kedua, dan akan
memulakan kempen dengan bertemu pemain bukan pilihan, Louise Crome dari New
Zeland.
Adik Rachael dan naib juara
dunia tahun lalu, Natalie Grinham dari Belanda diletakkan sebagai pilihan
ketiga, dan akan bermula dengan berdepan Dominique Llyod-Walter dari England.
Malaysia turut menampilkan
bintang remaja, Low Wee Wern, yang akan memulakan kempen dari pusingan
kelayakan.
Dalam saingan lelaki, cabaran
negara akan diketuai Ong Beng Hee dan Mohd. Azlan Iskandar.
Kejohanan Terbuka Dunia, yang
menghimpunkan 16 pemain terbaik lelaki dan wanita akan berlangsung di
Manchester, England dari 11-19 Oktober ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz50RYUD3ZU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan