ARKIB : 09/10/2008
Nicol David yang memenangi
tujuh kejohanan yang disertai tahun ini menjadi pilihan utama merebut anugerah
prestij Pemain Terbaik Dunia.
KUALA LUMPUR Kehebatan
Malaysia dalam skuasy antarabangsa mendapat pengiktirafan apabila tiga
pemainnya dicalonkan dalam semua kategori yang dipertandingkan pada Anugerah
Skuasy Dunia 2008, Sabtu depan.
Pemain nombor satu dunia, Datuk
Nicol David mengetuai senarai dengan menjadi calon utama untuk mempertahankan
gelaran Pemain Wanita Terbaik Dunia buat tahun ketiga berturut-turut.
Selepas ditabal sebagai Pemain
Terbaik Dunia 2006 dan 2007, selain muncul Pemain Remaja Terbaik Dunia 2005,
Nicol yang memenangi semua tujuh kejohanan yang disertai tahun ini menjadi
pilihan utama untuk merebut anugerah prestij itu.
Apa yang mengejutkan, Nicol
tidak akan dicabar oleh dua musuh tradisi yang sebelum ini disebut-sebut
sebagai antara calon utama anugerah, Rachael dan Natalie Grinham selepas
kedua-dua beradik itu tidak dicalonkan.
Sebaliknya, pencabar
terdekatnya adalah pemain utama New Zealand, Shelley Kitchen, Madeline Perry
dari Ireland, Isabelle Stoehr (Perancis) dan Samantha Teran dari Mexico.
Pemain nombor tiga negara,
Delia Arnold pula tersenarai dalam lima calon akhir Pemain Wanita Paling
meningkat bersama Kasey Brown dari Australia, Line Hansen (Denmark), Louise
Crome (New Zealand) dan Laura Lengthorn-Massaro dari England.
Sama ada menang atau tidak,
tersenarai sebagai lima calon akhir Anugerah Skuasy Dunia pastinya menyuntik
motivasi tambahan buat Delia apabila turun beraksi pada Kejohanan Terbuka Dunia
di Manchester, Sabtu ini.
Pemain berusia 22 tahun itu
berjaya menempatkan diri dalam kelompok 40 pemain terbaik dunia buat kali
pertama dengan menduduki ranking ke-36 pada Ogos lalu.
Delia yang kini menjalani
latihan di London merangkul kejuaraan Jelajah WISPA (Persatuan Pemain Skuasy
Wanita Antarabangsa) ketiganya pada Kejohanan Satelit MSN di Bukit Jalil, 16
Ogos lalu.
Pencabar terkuat Delia untuk
anugerah Pemain Wanita Paling Meningkat 2008 dijangka hadir daripada bintang
baru England dan pemain nombor sembilan dunia, Laura Lengthorn-Massaro, selain
Kasey Brown (Australia), Louise Crome (New Zealand) serta Line Hansen dari
Denmark.
Juara remaja Asia, Low Wee Wern
pula dicalonkan untuk anugerah Pemain Wanita Harapan 2008 bersama empat calon
lain, Annie Au dari Hong Kong, Nour El Tayeb (Mesir), Heba El Torky (Mesir) dan
Dipika Pallikal dari India.
Wee Wern, 18, yang kini
menduduki ranking ke-52 dunia turut mengiringi Nicol, Delia serta Sharon Wee,
beraksi pada Terbuka Dunia yang bermula di Manchester, 11-19 Oktober.
Sementara itu, pemain Mesir
mendominasi pencalonan anugerah pemain lelaki terbaik, diketuai pemain nombor satu
dunia, Amr Shabana dan pemain nombor empat dunia, Ramy Ashour.
James Willstrop, jaguh nombor
tiga dunia dari England merupakan satu-satunya pemain bukan Mesir yang turut
dicalonkan untuk merebut gelaran Pemain Lelaki Terbaik Dunia.
Mesir juga mendominasi
pencalonan Pemain Lelaki Harapan diketuai Omar Mosad dan Tarek Momen, sementara
seorang lagi calon adalah Aamir Atlas Khan dari Pakistan.
Majlis Anugerah Skuasy Dunia
2008 bakal diadakan di Manchester, England pada 18 Oktober ini, dan dijangka
dihadiri oleh 300 tetamu, termasuk Datuk Bandar Manchester, Glynn Evans.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50sBZIirf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan