ARKIB : 18/10/2008
KUALA LUMPUR - Jaguh nombor
satu dunia, Datuk Nicol David meneruskan pemburuan untuk merampas kejuaraan
dunia apabila melangkah ke suku akhir skuasy Terbuka Dunia di Manchester,
semalam.
Nicol hanya mengambil masa 24
minit untuk mengetepikan seteru dari Asia iaitu pemain Hong Kong, Rebecca Chiu
11-3, 11-8,11-7.
Juara dunia 2005 dan 2006 itu
kini menempah pertemuan dengan pilihan kesembilan, Omneya Abdel Kawy, lewat
pagi tadi yang mara selepas mengetepikan pemain sedang meningkat, Laura
Lengthorn-Massaro dari England 21-23, 19-17, 12-14, 11-6, 11-7.
Rebecca pernah mengejutkan
Nicol pada final Sukan Asia di Busan 2002, namun sejak kemenangan tersebut dia
tidak pernah menewaskan jaguh nombor satu negara itu dalam semua 13 pertemuan
mereka.
Dalam perlawanan semalam, Nicol
mudah mendominasi awal saingan pada ketika Rebecca menghadapi masalah
menyesuaikan diri dengan gelanggang kaca. Pemain negara itu mendahului 7-1 pada
kedua-dua set.
Dua set pertama berlangsung
dengan pantas, namun Rebecca cuba bangkit pada set ketiga dan mendahului 4-1.
Namun, Nicol berjaya mengejar dan mengikat kedudukan 7-7 sebelum menang 11-7.
"Saya sangat gembira
dengan permainan saya hari ini, saya lakukan apa yang sepatutnya. Rebecca
berjaya menyesuaikan diri dengan gelanggang pada dua set berikutnya, jadi saya
gembira dapat menamatkan permainan dengan hanya tiga set.
"Perlawanan ini lebih
kepada tentang menyesuaikan diri dengan gelanggang, seperti darah yang mengalir
di dalam badan. Sudut gelanggang yang dekat memudahkan anda mematikan bola
berbanding bahagian lain, jadi anda kena gunakan ia sebagai kelebihan.
"Terlalu banyak kejutan
yang berlaku di sepanjang kejohanan ini. Tetapi kamu harus bermain dengan cara
permainan kamu sendiri dan memastikan ia terus boleh dilaksanakan, serta jangan
melihat perkara lain," kata Nicol.
Kemenangan Nicol semalam
meletakkannya sebagai calon hangat untuk merangkul kejuaraan hatrik Pemain
Terbaik Dunia 2008 pada Anugerah Sukan Dunia yang akan berlangsung hari ini.
Pencabar utama Nicol dalam
perebutan anugerah, Shelly Kitchen dari New Zealand tewas 11-5, 11-6, 11-2
kepada seorang lagi calon akhir Pemain Terbaik Dunia, Madeline Perry dari
Ireland.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz50xGJjOkG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan