Rabu, 13 Disember 2017

Hasrat Malaysia lebur

ARKIB : 07/12/2008
 
BARISAN pemain negara (dari kiri) Low Wee Wern, Nicol David,Sharon Wee Ee Lin dan Delia Arnold gagal untuk meneruskan cabaran ke akhir diKejohanan Skuasy Berpasukan Dunia, Mesir, semalam.
- Gambar Nasirruddin Yazid

KUALA LUMPUR - Hasrat Malaysia untuk mencatat pencapaian terbaik pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia lebur selepas tumpas 2-1 kepada tuan rumah, Mesir di separuh akhir, semalam.

Pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David bagaimanapun melunaskan janjinya untuk memenangi semua perlawanan di Kaherah, namun Sharon Wee dan Delia Arnold gagal menyumbangkan mata.

Kekalahan terbaru ini menyaksikan pasukan negara terus kempunan untuk beraksi dalam perlawanan akhir buat kali pertama, sebaliknya kedudukan ketiga di Kanada, dua tahun lalu kekal sebagai pencapaian terbaik mereka.

Semalam, Engy Kheirallah mengutip mata pertama tuan rumah setelah berhempas pulas menundukkan Sharon 11-6, 11-6, 9-11, 11-9 dalam masa 45 minit.

Nicol bagaimanapun menghidupkan peluang Malaysia dengan mengutip mata penyamaan selepas menumpaskan pemain nombor tujuh dunia, Omneya Abdel Kawy 16-14, 11-4, 11-8.

Tanggungjawab mencari mata kemenangan yang diserahkan kepada Delia nyata terlalu berat untuk digalas pemain berusia 22 tahun itu apabila dia tunduk di tangan Raneem El Weleily dalam perlawanan penentuan.

Begitupun, Delia memberikan tentangan yang sengit di depan penonton tuan rumah sebelum akur 3-11, 6-11, 12-10, 9-11.

Mesir kini berpeluang untuk menebus kekalahannya kepada England dalam perlawanan akhir dua tahun lalu apabila kedua-dua pasukan dipertemukan lagi pada final kali ini.

England layak selepas menjadi satu-satunya pasukan yang tidak kalah sebarang perlawanan sepanjang kejohanan ini apabila menang 3-0 ke atas New Zealand, semalam.

Pemain nombor lima dunia, Alison Waters menghadiahkan mata pertama England selepas menumpaskan Jaclyn Hawkes 11-6, 11-7, 8-11, 11-5.

Jenny Duncalf, pemain ranking keenam dunia mengesahkan kemenangan pasukannya apabila menundukkan pemain nombor 10 dunia, Shelly Kitchen 11-7, 11-5, 12-10.

Pemain nombor lapan dunia, Laura Lengthorn-Massaro yang hanya turun untuk melengkapkan saingan memastikan kemenangan bersih England dengan mengalahkan Joelle King 11-8, 11-8.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz51CrUsmi9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan