ARKIB : 09/09/2008
Nicol calon Pemain Terbaik
Dunia
Nicol David
KUALA LUMPUR - Kejayaan meraih
tujuh kejuaraan antarabangsa musim ini meletakkan ratu skuasy negara, Datuk
Nicol David sebagai calon utama untuk anugerah hatrik Pemain Terbaik Dunia
2008.
Selepas dipilih sebagai Pemain
Terbaik Dunia 2006 dan 2007, pemain skuasy nombor satu dunia itu menjadi pilihan
untuk mempertahankan gelaran 2008 hasil kejayaan merangkul tujuh kejuaraan
Jelajah Persatuan Pemain Skuasy Wanita (Wispa) secara berturut-turut, tahun
ini.
Kemenangan terbaru Nicol, 25,
kelmarin apabila dia berjaya mempertahankan kejuaraan Terbuka Belanda dengan
menumpaskan pemain nombor tiga dunia, Natalie Grinham di final.
Enam lagi kejuaraan Jelajah
Wispa yang dimenanginya tahun ini adalah Terbuka Apawamis, Terbuka KL, Terbuka
Britain, Terbuka Seoul, Terbuka Malaysia dan Singapura Masters.
Pemain nombor dua dunia,
Rachael Grinham dari Australia bagaimanapun bakal menjadi pencabar utama
Anugerah Pemain Terbaik 2008 selaku penyandang juara dunia.
Sementara itu, bintang Mesir,
Amr Shabana menjadi calon mempertahankan anugerah Pemain Terbaik Dunia kategori
lelaki.
Pemain nombor satu dunia itu
berjaya menjuarai tiga kejohanan Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA)
pada 2008 iaitu Kanada Classic, Terbuka Hurghada dan Terbuka Kuwait.
Amr bakal menerima tentangan
daripada pemain nombor tiga dunia, James Willstrop dari England yang berjaya
melayakkan diri dalam tujuh perlawanan akhir Jelajah PSA musim ini.
"Kami amat gembira dapat
menganjurkan Anugerah Pemain Terbaik Dunia bersempena Kejohanan Skuasy Terbuka
Dunia di England.
"Terbuka Dunia kali ini
cukup bersejarah dan istimewa kerana saingan lelaki serta wanita akan diadakan
serentak,'' kata Pengarah Pertandingan PSA, Peter Nicol.
Majlis Anugerah Skuasy Dunia
2008 bakal diadakan di Manchester, England pada 18 Oktober ini, dan dijangka
dihadiri oleh 300 tetamu, termasuk Datuk Bandar Manchester, Glynn Evans.
Kejohanan Terbuka Dunia,
kejohanan yang pernah dimenangi oleh Nicol pada 2006 dan 2005 akan berlangsung
dari 11 hingga 19 Oktober.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0909&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50NwqGrDq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan