ARKIB : 20/11/2008
KUALA LUMPUR - Ratu skuasy
negara, Datuk Nicol David melepasi halangan pertama dalam usaha memburu
kejuaraan ke-10 berturut-turut musim ini apabila melangkah ke pusingan kedua Terbuka
Hong Kong, semalam.
Juara dunia dan pemain nombor
satu dunia itu tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan pencabar dari New
Zealand, Jaclyn Hawkes 11-6, 11-3, 11-6 dalam masa 22 minit.
Nicol, 25, bukan saja terus
berada di landasan terbaik untuk melakar kejuaraan hatrik kejohanan ini, malah
melebarkan rekod kemenangannya kepada 54 perlawanan berturut-turut.
Menanti Nicol pada pusingan
kedua hari ini adalah bintang skuasy tuan rumah dan pilihan ke-13, Rebecca
Chiu, yang mara selepas menumpaskan Line Hansen dari Denmark 11-9, 11-8, 11-8.
Cabaran Malaysia di Terbuka
Hong Kong turut diteruskan dua pemain lelaki utamanya, Ong Beng Hee dan Mohd.
Azlan Iskandar.
Beng Hee, pilihan ke-10 bekerja
keras untuk menundukkan pemain tuan rumah, Dick Lau 11-8, 11-8, 7-11, 11-7 bagi
menempah pertemuan pilihan ketiga dari England, James Willstrop.
Azlan pula dipaksa bangkit
daripada ketinggalan untuk menyingkirkan Aamir Atlas Khan dari Pakistan 3-11,
11-8, 11-5, 11-8, dan akan berdepan pilihan kedua, Gregory Gaultier dari
Perancis.
Sementara itu, dua lagi pemain
wanita negara, Sharon Wee dan Delia Arnold gagal mengikuti jejak Nicol apabila
tersingkir pada perlawanan pertama masing-masing.
Sharon memberi tentangan sengit
kepada pilihan ke-15, Madeline Perry dari Ireland sebelum tewas 9-11, 11-8,
5-11, 5-11.
Delia pula gagal menyaingi
kehebatan pemain nombor tiga dunia, Natalie Grinham dari Belanda apabila tunduk
5-11, 6-11, 6-11.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz518Q8tXlX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan