Rabu, 13 Disember 2017

Skuasy Wanita Berpasukan Dunia Tugas besar Nicol


 

ARKIB : 29/11/2008
Oleh Norzie Khasbi
Low Wee Wern (depan) menjadi sandaran skuad negara di kejohanan besar selepas mencatat pencapaian memberangsangkan musim ini.

DATUK Nicol David sudah memiliki semua kejuaraan yang menjadi dambaan setiap pemain skuasy - muncul juara dunia, bergelar pemain nombor satu dunia, merangkul kejuaraan prestij Terbuka Britain dan memenangi semua 10 kejohanan yang disertai sepanjang 2008.

Tidak keterlaluan, andai skuasy dipertandingkan pada Sukan Olimpik Beijing, Ogos lalu, barangkali pemain kelahiran Pulau Pinang ini juga sudah menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia.

Namun hanya ada satu lagi kejuaraan yang menyebabkan karier menakjubkan Nicol tidak lengkap - Kejohanan Wanita Berpasukan Dunia yang akan kembali di Kaherah, Mesir bermula esok.

Nicol jarang menghampakan Malaysia setiap kali diberi tugas untuk mencari mata, malah sentuhannya berjaya membawa pasukan negara merangkul pingat gangsa dalam penampilan terakhir di Edmonton, dua tahun lalu.

Tetapi apakan daya, dalam kejohanan berpasukan, keputusan perlawanan adalah di luar kawalannya kerana ia turut bergantung kepada prestasi pemain-pemain lain.

Prestasi rakan

Nicol mungkin mampu memenangi semua perlawanan tetapi bagaimana dengan rakan-rakan sepasukan seperti Sharon Wee, Delia Arnold dan Low Wee Wern? Bolehkah mereka ini menyumbang mata andai berdepan pasukan besar seperti England, Mesir atau New Zealand.

Malah, Malaysia juga bakal berdepan ujian getir seawal peringkat kumpulan apabila diletak bersama Belanda, yang membariskan pemain nombor dua dunia, Natalie Grinham, selain bekas pemain nombor satu dunia dan juara dunia 2004, Vanessa Atkinson.

Pasukan negara perlu muncul juara kumpulan untuk mengelak daripada bertemu penyandang juara dan pilihan pertama, England atau naib juara dua tahun lalu, Mesir di suku akhir.

Nicol menjadi tunjang pasukan yang diberi tanggungjawab besar mengutip mata dalam setiap perlawanan, namun bintang berusia 25 tahun itu yakin, dia tidak bersendirian berdiri gagah, malah rakan-rakan lain, terutama dua pemain muda sedang meningkat - Delia dan Wee Wern sudah semakin mantap dan mampu menghadirkan cabaran kuat.

Meskipun tidak meletak harapan tinggi dalam penampilan di Mesir, namun Pemain Terbaik Dunia tiga kali berturut-turut ini yakin, kekuatan dan kualiti yang ada pada Malaysia sekarang sudah semakin baik berbanding dua tahun lalu.

Kenyataan Nicol nyata berasas apabila Delia dan Wee Wern buat kali pertama berjaya melayakkan diri ke undian utama kejohanan Terbuka Dunia di Manchester, bulan lalu. Malah, kedua-dua pemain ini turut dicalonkan sebagai Pemain Paling Meningkat dan Pemain Harapan Dunia 2008.

“Pasukan kita ada kekuatan dan kualiti. Semua pemain sudah bertambah kuat dan saya percaya ia mampu menghadirkan keputusan yang baik pada kejohanan ini.

“Kalau kita boleh jadi juara Kumpulan D, kami boleh mengelak daripada bertemu pasukan besar seperti England, Mesir atau New Zealand di suku akhir, jadi kita punya peluang untuk pergi lebih jauh,” kata Nicol.

Malaysia akan memulakan kempen dengan menentang Afrika Selatan esok, sebelum bertemu Jerman, Isnin ini, diikuti Belanda dalam perlawanan terakhir kumpulan, Selasa depan.

Perlawanan suku akhir akan berlangsung pada Khamis depan, separuh akhir Jumaat, manakala final - pentas yang tidak pernah dirasai Malaysia berlangsung pada hari Sabtu



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana_Sukan&pg=rs_01.htm#ixzz5194gM86c

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan