ARKIB : 22/11/2008
KUALA LUMPUR - Pemain nombor
satu dunia, Datuk Nicol David meneruskan usaha memburu gelaran ke-10
berturut-turut apabila melangkah ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Hong
Kong, semalam.
Nicol yang turut memburu
kejuaraan hatrik di Hong Kong tidak perlu berhempas pulas ketika menewaskan
pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy apabila mendahului 11-5, 11-3 sebelum lawannya
menarik diri akibat kecederaan.
Menanti juara dunia itu pada
separuh akhir hari ini adalah pilihan keempat, Natalie Grainger dari Amerika
Syarikat yang menyingkirkan pencabar dari England, Alison Waters 11-9, 11-7,
11-5.
Dalam perlawanan semalam, Nicol
mendominasi saingan sejak awal dan lebih gemar mematikan perlawanan dengan
cepat daripada bermain rali.
Begitupun, pada pertengahan set
kedua permainan Omneya sudah mula goyah dan pemain itu dilihat menghadapi
masalah dengan pinggulnya.
Tidak lama selepas menamatkan
set kedua, Omneya terpaksa akur dengan kesakitan yang dialami dan meminta
permainan ditamatkan awal.
"Saya mempunyai sedikit
masalah di pinggul. Ia sudah sakit ketika saya bermain di Manchester, Qatar dan
pada sesi latihan tetapi ia semakin buruk ketika perlawanan hari ini dan
tindakan terbaik adalah memberhentikan perlawanan lebih awal,'' terang Omneya.
Satu lagi perlawanan separuh
akhir pula menemukan dua pemain adikberadik, Natalie Grinham menentang kakaknya,
Rachael Grinham.
Natalie, pilihan kedua
kejohanan dipaksa berhempas pulas untuk mengetepikan Jenny Duncalf dari England
11-8, 11-9, 4-11, 12-14, 12-10, manakala Rachael mengetepikan wakil Perancis,
Isabelle Stoehr 11-7, 12-10, 11-8.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz518ZIB4aS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan