ARKIB : 08/01/2009
KUALA LUMPUR - Pemain remaja
utama negara Low Wee Wern akhirnya berjaya merangkul gelaran pertamanya selepas
tiga percubaan pada Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Britain semalam.
Pada perlawanan akhir kategori
perempuan bawah 19 tahun di Abbeydale, Sheffield, Wee Wern, 18, menewaskan
pemain India dan juara bawah 17 tahun tahun lepas, Dipika Pallikal, 3-1.
"Saya teruja dan lega
kerana akhirnya berjaya merangkul gelaran," kata pemain dari Pulau Pinang
itu dalam laman web rasmi kejohanan itu.
Pada perlawanan akhir itu, Wee
Wern menguasai dua set pertama dengan keputusan, 11-2 dan 11-8 sebelum Dipika
bangkit pada set ketiga untuk memang 11-8.
Bagaimanapun, Wee Wern, yang
menduduki ranking ke-42 dunia, kembali semula untuk menguasai set penentuan
dengan kejayaan 11-8 bagi merangkul gelaran dalam tempoh saingan selama 42
minit.
Wee Wern mara ke perlawanan
akhir selepas menundukkan pemain Kanada, Laura Gemmell, 9-11, 12-10, 13-15,
11-8, 11-7 pada saingan separuh akhir Isnin lepas.
Kategori lelaki pula
menyaksikan pemain utama negara, Ivan Yuen gagal mencipta kejutan pada
perlawanan akhir bawah 19 tahun selepas tewas kepada juara remaja dunia,
Mohamed El Shorbagy dari Mesir 8-11, 7-11, 11-13 dalam masa 33 minit.
Ivan, 18, menjadi pemain
profesional pada 2007 dan kini menduduki ranking ke-135 dunia.
- Bernama
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51IH3aiSJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan