Rabu, 13 Disember 2017

Kejuaraan ke-10 berturut-turut Nicol

RKIB : 24/11/2008
KEJAYAAN di Hong Kong menunjukkan Nicol David terlalu unggul dan berada dalam kelas tersendiri selepas merangkul kejuaraan antarabangsa ke-10 berturut-turut selain kemenangan hatrik untuk Terbuka Hong Kong, semalam.


KUALA LUMPUR – Bintang skuasy negara, Datuk Nicol David nyata terlalu unggul dan berada dalam kelas yang tersendiri apabila merangkul kejuaraan antarabangsa ke-10 berturut-turut dengan menjuarai Terbuka Hong Kong semalam.
Malah, ini juga merupakan gelaran hatrik Nicol di Terbuka Hong Kong selepas muncul juara 2006 dan 2007.
Kemenangan 14-12, 11-13, 11-8, 11-8 ke atas musuh tradisi, Rachael Grinham dari Australia membolehkan juara dunia itu melebarkan rekod tanpa kalahnya kepada 58 perlawanan berturut-turut.
Terbuka Hong Kong melengkapkan koleksi kecemerlangan Nicol sepanjang 2008 selepas muncul juara di Terbuka Apawamis (Februari), Terbuka KL (Mac), Terbuka Britain (Mei), Terbuka Seoul (Jun), Terbuka Malaysia (Julai), Singapura Masters (Julai), Terbuka Belanda (September), Terbuka Dunia (Oktober) dan Terbuka Qatar (Oktober).
Bagi Grinham, permainan hebat Nicol cukup untuk menjelaskan mengapa dia layak berada di takhta nombor satu dunia.
Meskipun kecewa dengan permainannya yang dianggap perlahan, namun Grinham mengakui, permainan Nicol yang lebih kemas, pantas dan tidak melakukan banyak kesilapan memberi kemenangan buat pemain Malaysia itu.
“Sudah tentu saya rasa sakit hati.. kalah sekali lagi kepadanya tetapi dia (Nicol) tidak bergelar pemain nombor satu dunia tanpa sebab. Bila kedudukan semakin rapat, dia bijak melengahkan permainan, mengajak saya bermain rali sebelum tiba-tiba melajukan permainan dan memperkemaskan pukulan.
“Saya sudah agak taktik yang akan dilakukan, malah perkara itu sentiasa bermain di fikiran tetapi bila sudah diajak bermain rali, saya mula membuat kesilapan pada ketika Nicol bermain bersih tanpa sebarang kesilapan,’’ akui Grinham.
Nicol pula menganggap kemenangan di Hong Kong sesuatu yang amat manis kerana di gelanggang yang sama dia telah merangkul kejuaraan dunia kali pertama pada 2005.
Malah, semangatnya semakin membara dengan kehadiran ramai penyokong Malaysia di Hong Kong, membuatkan dia seolah- olah beraksi di negara sendiri.
“Kemenangan hari ini sebenarnya bergantung kepada siapa yang mampu bermain lebih baik. Dia (Grinham) berjaya membaca permainan saya dan menyukarkan saya mencari mata mudah.
“Tuah turut menyebelahi saya kerana saya sebenarnya tidak selesa dengan pukulan yang dilakukan, malah saya juga membawa bantuan tambahan ke dalam gelanggang, lebih ramai peminat, terutama penyokong Malaysia. Ia benar-benar membantu,’’ kata Nicol lagi.
Sementara itu kejuaraan lelaki menjadi milik pemain nombor satu dunia, Amr Shabana dari Mesir yang menewaskan pilihan kedua, Gregory Gaultier dari Perancis 11-9, 13-15, 8-11, 11-2, 11-3.
Ini merupakan gelaran Terbuka Hong Kong keempat berturut-turut buat Shabana, yang dipaksa berhempas pulas selama satu jam 16 minit untuk menundukkan Gaultier.


SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz518kTSlSz 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan