Selasa, 12 Disember 2017

Nicol ke separuh akhir

ARKIB : 30/10/2008
KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David melebarkan rekod kemenangannya kepada 46 perlawanan berturut-turut selepas mara ke separuh akhir skuasy Qatar Classic di Doha, semalam.

Nicol, yang memburu kejuaraan hatrik nyata terlalu handal buat pemain England, Alison Waters apabila menewaskan pilihan ketujuh itu 11-4, 14-12, 11-9 dalam masa 34 minit.

Dua minggu selepas menjulang kejuaraan dunia kali ketiga dan ditabal sebagai Pemain Terbaik Dunia, Nicol menghampiri kejuaraan antarabangsa kesembilan tahun ini.

Menanti pemain nombor satu dunia itu pada separuh akhir hari ini adalah pilihan keempat, Natalie Grainger dari Amerika Syarikat.

Grainger mara selepas menyingkirkan jaguh nombor satu Mesir, Omneya Abdel Kawy 4-11, 11-8, 11-6, 11-7.

"Permainan saya bertambah baik hari ini. Saya sudah bersedia untuk berdepan cabaran seterusnya di gelanggang kaca, yang memang menjadi kegemaran saya.

"Gelanggang ini amat sesuai dengan corak permainan saya dan memberi perasaan yang membuatkan saya rasa seronok untuk beraksi,'' kata Nicol.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz5129Vup7B

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan