Selasa, 17 Oktober 2017

Nicol, Natalie jadi penentu



ARKIB : 11/11/2007
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
 
NICOL David (kanan) cuba mengejar pukulan pemain England, Vicky Botwright pada perlawanan separuh akhir Terbuka Hong Kong, semalam. Ratu skuasy negara menang 3-1.

KUALA LUMPUR – Ratu skuasy dunia, Nicol David cuma berada selangkah lagi untuk menggapai gelaran kelapannya tahun ini selepas menewaskan pemain England, Vicky Botwright dalam tempoh hampir sejam untuk mara ke perlawanan akhir.

Dalam separuh akhir di Plaza Hollywood, Hong Kong, semalam, pemain nombor satu dunia itu yang dikejutkan dengan kekalahan mudah set pertama, masih mampu bangkit kembali untuk menang 3-9, 9-3, 9-5, 9-0.

Nicol, 24, pilihan utama kejohanan bernilai hampir RM300,000 ini akan mempertahankan gelaran dengan pilihan kedua, Natalie Grinham dari Australia yang menewaskan pemain Amerika Syarikat, Natalie Grainger 9-5, 9-3, 9-0.

Sejak Mac lalu, gadis kelahiran Pulau Pinang ini sudah mengumpul kejuaraan Terbuka Kuala Lumpur, Terbuka Kuwait, Klasik Qatar 2006, Terbuka Malaysia, Master Singapura, Terbuka Belanda dan Klasik Qatar 2007.

Dia hanya gagal dalam perlawanan akhir Terbuka Kota Seoul (April) dan Terbuka Britain (September) selain kecundang dalam pusingan kedua Terbuka Dunia kepada pemain New Zealand, Shelley Kitchen di Madrid, Sepanyol, bulan lalu.

Sepanjang 36 bulan lalu, Nicol sudah mendahului 9-3 dalam rekod pertemuan dengan Natalie, adik Rachael Grinham yang menghampakannya untuk bergelar juara Terbuka Britain kali ketiga berturut-turut.

Nicol menewaskan Natalie dalam Master Singapura, Klasik Qatar 2006, Terbuka Kuala Lumpur dan Terbuka Kuwait tetapi hanya dikalahkan pemain nombor dua dunia itu dalam Terbuka Kota Seoul.

Minggu lalu, Nicol menewaskan Grainger 9-6, 9-4, 10-9 di Doha untuk muncul juara Klasik Qatar - gelaran pertamanya yang menebus kehampaan di Madrid dan Terbuka Dunia di Manchester.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vpBn2Tdq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan