Rabu, 4 Oktober 2017

Terbuka Malaysia: Nicol buktikan permulaan hebat



ARKIB : 26/07/2007

KUALA LUMPUR – Juara dunia, Nicol David memulakan kempen mempertahankan gelaran skuasy Terbuka Malaysia dengan mudah apabila menumpaskan rakan senegara, Tricia Chuah 9-2, 9-1, 9-5 pada pusingan pertama di Pusat Skuasy Kuala Lumpur di sini, semalam.

Bagaimanapun, pemain lelaki nombor satu negara, Ong Beng Hee bergelut dengan prestasi selepas kembali daripada rehat tiga bulan apabila berhempas pulas lebih sejam untuk menewaskan Tarek Momen dari Mesir 11-8, 10-11 (2-4), 9-11, 11-10 (5-3),11-7.

Cabaran Malaysia pada kejohanan bernilai AS$86,000 (RM295,840) itu turut diteruskan pilihan keempat, Mohd. Azlan Iskandar yang hanya memerlukan 16 minit untuk menundukkan Shahid Zaman dari Pakistan 11-4, 11-4, 11-6.

Nicol yang sebelum ini menyuarakan hasratnya untuk bertemu rakan senegara, Sharon Wee pada suku akhir, bagaimanapun akan bertemu Omneya Abdel Kawy dari Mesir.

Omneya menafikan pertemuan Nicol-Sharon selepas mudah menumpaskan pemain negara itu 9-6, 9-0, 9-2 hanya dalam masa 15 minit.

‘‘Ini adalah permulaan impian saya - selesa dan mudah, tetapi adalah lebih menggembirakan kalau dapat bertemu Sharon esok,’’ kata Nicol selepas tamat perlawanan.

Begitupun, komen Nicol itu dibuat sebelum perlawanan Sharon dan Omneya bermula, yang mana kemenangan akhirnya berpihak kepada pemain Mesir itu.

‘‘Kalau bertemu Omneya, saya memenangi semua tiga pertemuan kami, namun ia tidak bermakna dia lawan yang mudah,’’ kata Nicol lagi.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4uXp6khpE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan