Rabu, 4 Oktober 2017

Nicol, Mohd. Azlan melangkah ke akhir


ARKIB : 28/07/2007
NICOL David mara ke perlawanan akhir skuasy Terbuka Malaysia selepas mengatasi Rachel Grinham dalam lima set pada saingan separuh akhir di The Curve, Mutiara Damansara, semalam.

KUALA LUMPUR – Juara skuasy dunia, Nicol David menepati ramalan melangkah ke perlawanan akhir diiringi oleh pemain lelaki nombor dua negara, Mohd. Azlan Iskandar selepas menewaskan lawan masing-masing pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di gelanggang kaca yang dibina khas di The Curve, Mutiara Damansara, semalam.

Kemaraan Nicol dan Mohd. Azlan dalam perlawanan akhir hari ini adalah peluang terbaik buat dua pemain negara itu melakar sejarah kejohanan sejak 1975 untuk memenangi kategori lelaki dan wanita sekaligus.

Nicol yang turun selaku pilihan utama mengharungi laluan getir sebelum melangkah ke perlawanan akhir apabila menewaskan pilihan ketiga, Rachael Grinham dari Australia 0-9, 9-2, 9-5, 4-9, 9-4 dalam tempoh 72 minit.

Begitupun Nicol, 23, dikejutkan dengan kekalahan mudah 0-9 di set pertama tetapi bangkit di set kedua dan ketiga apabila menang 9-2 dan 9-5.

Namun, Nicol tewas di set keempat 4-9 sebelum menamatkan cabaran pemain Australia itu dengan kemenangan 9-4 di set kelima.

Nicol yang memburu gelaran ketiga berturut-turut selepas muncul juara pada 2004 dan 2005 akan berdepan pemain pilihan keempat, Tania Bailey dari England dalam perlawanan akhir hari ini.

Bailey pula melangkah ke akhir tanpa berdepan tugas sukar dengan mudah menjinakkan adik Rachel, Natalie Grinham yang turun selaku pilihan kedua menang 9-2, 9-4, 9-0.

Mohd. Azlan pula mencari gelaran kedua peribadinya selepas muncul juara buat pertama kali pada 2004 apabila menewaskan Wael El Hindi dari Mesir bergelut sebelum menjinakkan pilihan kedua dari England, Lee Beachill di separuh akhir.

Selepas mengejutkan juara bertahan, Adrian Grant dari England di suku akhir, Mohd. Azlan beraksi cemerlang apabila melayakkan diri ke perlawanan akhir.

Begitupun laluan pemain negara itu selaku pilihan kelima kejohanan penuh berliku sebelum dapat menjinakkan Beachill menerusi kemenangan 6-11, 2-11, 13-11, 11-9, 11-2 dalam tempoh 64 minit.

Tewas pada dua set awal 6-11 dan 2-11 tidak menghalang bekas juara 2004 itu bangkit pada set ketiga dan seterusnya memenangi perlawanan itu mara ke akhir buat kali kedua.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4uXx19U3h
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan