Isnin, 23 Oktober 2017

Nicol kekal nombor satu



ARKIB : 17/01/2008
KUALA LUMPUR – Ratu Skuasy Malaysia Nicol David kekal sebagai pemain nombor satu dunia untuk tahun ketiga berturut-turut dalam ranking Skuasy Wanita Dunia bagi Januari dikeluarkan oleh Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (WISPA).

Pemain Malaysia berumur 24 tahun yang mula mendahului senarai itu pada Januari 2006 - muncul selaku pemain nombor satu setelah mengumpul 27,515 mata dengan memenangi kejohanan Terbuka KL CIMB, Terbuka Kuwait, Qatar Classic, Terbuka Malaysia CIMB, CIMB Singapore Masters, Terbuka Belanda Feroxx dan Terbuka Hongkong Cathay Pacific.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu beraksi cemerlang tahun lepas dengan memenangi lapan kejuaraan Jelajah Dunia WISPA daripada 10 kemunculan di perlawanan akhir tetapi malangnya gelaran Terbuka Dunia terlepas daripada genggamannya.

Dipilih sebagai Pemain Terbaik WISPA bulan lepas untuk tahun ketiga berturut-turut, Nicol mencatatkan satu lagi sejarah pada penghujung 2007 apabila dipilih sebagai Olahragawati Asia dalam anugerah sulung yang dilancarkan oleh Kesatuan Akhbar Sukan Asia.

Pemain adik-beradik Grinham dari Australia, mengekori rapat di belakang Nicol apabila Natalie yang ditumpaskan Nicol dalam lima pertemuan peringkat akhir tahun lepas, berada di tempat kedua setelah mengumpul 25,465 manakala juara Terbuka British 2007 dan pemenang Terbuka Dunia Rachael di tempat ketiga dengan 21,665 mata.

– Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4wOLNnt9H
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan