Selasa, 17 Oktober 2017

Nicol mudah melangkah



ARKIB : 08/11/2007

KUALA LUMPUR – Nicol David memulakan kempen mempertahankan kejuaraan skuasy Terbuka Hong Kong dengan menang mudah ke atas rakan senegara, Tricia Chuah pada pusingan pertama semalam.

Pemain nombor satu dunia itu hanya diberi tentangan pada set pertama sebelum menang 9/4, 9/0, 9/0 dalam masa 19 minit.

Nicol, yang memburu kejuaraan Jelajah Dunia kelapannya kini menempah pertemuan dengan pilihan ke-16, Annelize Naude dari Belanda.

Naude mara selepas mengecewakan pemain wanita nombor dua tuan rumah, Christina Mak 4/9, 9/0, 10/9, 9/5.

Turut meneruskan cabaran adalah dua pemain lelaki utama negara, Mohd. Azlan Iskandar dan Ong Beng Hee.

Azlan, pilihan ke-11 mengetepikan cabaran pemain Mesir, Omar Abdel Aziz 11-4, 11-6, 11-5 untuk bertemu bekas juara dunia, Thierry Lincou dari Perancis.

Lincou, yang juga bekas pemain nombor satu dunia tidak menghadapi masalah untuk melepasi halangan awalnya selepas menumpaskan Bradley Ball dari England 11-5, 11-8, 11-3.

Beng Hee, pilihan ke-12 pula menempah pertemuan sukar dengan pemain nombor satu dunia, Amr Shabana juga dari Mesir selepas menundukkan Dylan Bennett dari Belanda 11-7, 8-11, 11-9, 11-3.

Sementara itu pemain adik- beradik Australia, Natalie dan Rachael Grinham terus berusaha menjadi pencabar utama Nicol apabila melepasi pusingan awal masing-masing.

Natalie mengetepikan Suzie Pierrepont dari England 9-2, 9-3, 9-2, manakala Rachael mara selepas mengalahkan pemain England, Lauren Briggs 9-4, 9-2, 9-1.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4vopLOvqp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan