ARKIB : 01/09/2007
KUALA LUMPUR Ratu skuasy
negara, Nicol David melepasi halangan awalnya untuk memburu kejuaraan kelima
tahun ini apabila mengetepikan pemain tuan rumah, Margriet Huisman dalam aksi
pembukaan Terbuka Belanda di Amsterdam, semalam.
Nicol, 24, yang mencari
kemenangan untuk dihadiahkan kepada rakyat Malaysia sempena sambutan
kemerdekaan ke-50, memerlukan 40 minit untuk menundukkan Huisman 9-2, 9-3, 9-3.
Pemain nombor satu dunia dan
juara dunia itu kini akan berdepan pilihan ketujuh, Madeline Perry dari Ireland
pada saingan suku akhir hari ini.
Perry mara selepas menumpaskan
akan senegara dan pemain dari pusingan kelayakan, Aisling Blake 9-7, 9-2, 9-7.
Nicol sudah pun memenangi empat
kejuaraan sepanjang 2007 setakat ini, Terbuka Malaysia, Qatar Classic, Terbuka
Kuwait dan Terbuka Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, pemain dari Pulau
Pinang itu percaya memenangi Terbuka Belanda pasti lebih istimewa kerana ia
berlangsung serentak dengan Hari Kebangsaan Malaysia.
Saya tidak dapat pulang
ketika sambutan kemerdekaan ke-50, tetapi saya tetap mahu meraikan kemerdekaan
di luar negara.
Harap saya dapat merangkul
kejuaraan untuk dihadiahkan kepada seluruh rakyat Malaysia, kata Nicol
sebelum kejohanan bermula.
Bagi Huisman yang beraksi
menerusi tiket wild-card, peluang menentang juara dunia adalah pengalaman
paling bermakna, apatah lagi ini kali pertama dia bermain dalam undian utama.
Permainan ini berlangsung
dengan sangat pantas. Nicol sememangnya pemain yang amat bagus dan mengawal
permainan sepenuhnya.
Apa pun, saya percaya saya
juga memberi cabaran yang baik dengan mengambil kira ini adalah perlawanan
pertama saya pada undian utama di Terbuka Belanda, kata Huisman.
Pemain nombor tiga dunia dan
pilihan kedua, Natalie Grinham dari Australia mencerahkan prospek untuk bertemu
Nicol pada perlawanan akhir apabila turut melepasi halangan pertama,
mengalahkan Alison Waters dari England 9-1, 9-3, 3-9, 9-5.
Turut meneruskan cabaran ke
suku akhir adalah kakak Natalie dan pilihan ketiga, Rachael Grinham, yang
mengalahkan seorang lagi pemain England, Jenny Duncalf 9-4, 9-2, 9-7.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4vYFjIZd7
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan