Sabtu, 14 Oktober 2017

Nicol mara ke separuh akhir

ARKIB : 02/09/2007
KUALA LUMPUR – Pemain nombor satu dunia, Nicol David dipaksa mengharungi pertarungan sengit yang mendebarkan sebelum melepasi Madeline Perry dari Ireland untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Belanda di Amsterdam, semalam
Nicol, pilihan utama kejohanan terpaksa bertarung selama satu jam empat minit dan bangkit daripada kekalahan pada set pertama untuk menundukkan pilihan ketujuh, Perry 8-10, 9-6, 9-3, 9-7.
Kemenangan tersebut membolehkan juara dunia dua kali itu terus berada di landasan terbaik untuk merangkul kejuaraan kelimanya tahun ini selepas menjuarai Qatar Classic, Terbuka Kuwait, Terbuka Malaysia dan Terbuka Kuala Lumpur.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu akan meneruskan cabaran dengan berdepan pilihan keempat dari Amerika Syarikat, Natalie Grainger pada separuh akhir.
Grainger, yang kalah pada set pertama mara selepas menumpaskan pilihan keenam dari Mesir, Omneya Abdel Kawy 6-9, 9-4, 9-4, 9-0 dalam satu lagi saingan suku akhir.
‘‘Dia bermula dengan amat mantap dan menimbulkan banyak kesukaran kepada saya. Anda tidak boleh terleka walau pun seminit kerana dia akan terus memberi tekanan.
‘‘Bagaimanapun pada akhir permainan, saya berjaya mengawal perlawanan dan mendapat rentak yang diperlukan untuk mengutip mata,’’ kata Nicol, yang berazam memburu kejuaraan untuk dihadiahkan kepada rakyat Malaysia sempena sambutan Kemerdekaan Ke-50.
Walaupun bermula buruk pada awal saingan dengan melakukan banyak kesilapan, namun, Nicol terbukti pemain yang amat bahaya apabila berada dalam keadaan ketinggalan.
Juara Terbuka Britain dua kali itu menampilkan permainan lebih mantap pada tiga set berikutnya, malah mendahului saingan sepanjang set kedua dan ketiga.
‘‘Saya bermain baik dan permainan voli di awal perlawanan meletakkan Nicol di bawah tekanan. Bagaimanapun saya tidak bernasib baik kerana melepaskan dua atau tiga mata dengan mudah,’’ kata Perry.
Nicol, 24, yang memegang rekod pertemuan 3-0 ke atas Grainger berpotensi berdepan pencabar tradisinya - pemain adik-beradik dari Australia, Rachael dan Natalie Grinham.
Natalie, pilihan kedua, menempah pertemuan dengan kakaknya selepas mengalahkan pemain pusingan kelayakan dari Perancis, Isabelle Stoehr 9-7, 9-6, 9-0.
Rachael, pilihan ketiga pula mengetepikan bekas juara dunia dan pilihan kelapan, Vanessa Atkinson 2-9, 9-5, 9-1, 9-3.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan