Selasa, 17 Oktober 2017

Nicol jumpa Rachael di separuh akhir



ARKIB : 02/11/2007

DOHA (Qatar) – Pemain negara, Nicol Ann David menempah pertemuan dengan juara dunia, Rachael Grinham dari Australia di separuh akhir hari ini selepas menang di suku akhir Kejohanan Skuasy Qatar Klasik, semalam.

Ini merupakan pertemuan yang amat dinanti-nantikan Nicol selepas kecewa di Terbuka Dunia, minggu lalu.

Selain dapat menebus kegagalan itu, Nicol juga berpeluang memulihkan imejnya sebagai pemain nombor satu dunia jika berjaya menewaskan Rachael yang baru bergelar juara dunia dan merupakan pemain nombor dua dunia ketika ini.

Di suku akhir, semalam, Nicol hanya mengambil masa 36 minit untuk menewaskan pemain England, Alison Waters 9-7, 9-1, 9-2. Rachael pula menewaskan Vicky Botwright juga dari England, 1-9, 9-5, 9-3, 9-5.

Sementara itu, Ong Beng Hee juga cemerlang apabila buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun melangkah ke suku akhir kejohanan utama setelah menewaskan pemain nombor 12 dunia, Wael El Hindi dari Mesir dalam pusingan kedua, kelmarin.

Pemain nombor 18 dunia itu menumpaskan pemain Mesir selaku pilihan kelapan dengan 11-8, 7-11, 11-10, 9-11, 11-10 dalam masa 112 minit.

Pada pusingan pertama, Beng Hee mengetepikan saingan Stewart Boswell dari Australia 9-11, 11-4, 11-8, 7-11, 11-4.

Beng Hee akan berhadapan pemain nombor satu dunia, Amr Shabana dari Mesir yang baru memenangi hadiah AS$31,172 pada kejohanan lelaki antarabangsa Saudi awal minggu ini.

Setakat ini, Amr belum tewas dalam dua pusingan kejohanan lelaki Qatar Klasik yang menawarkan hadiah AS$120,000.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vl76vCAh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan