ARKIB : 01/11/2007
DOHA Pemain Malaysia, Mohd.
Azlan Iskandar terkandas pada pusingan pertama acara lelaki Kejohanan Skuasy
Klasik Qatar 2007, semalam selepas menarik diri pada set ketiga perlawanan
ketika bertemu Joey Barrington dari England.
Pemain nombor 16 dunia itu
dilihat mampu menewaskan Barrington. Bagaimanapun, selepas tewas dua set
pertama 5-11 dan 4-11, Mohd. Azlan menarik diri ketika set ketiga berkedudukan
1-0.
Saya terpaksa membalut kaki
kanan saya untuk meredakan ketegangan pada pinggul tetapi ia menjadi semakin
teruk, katanya selepas perlawanan.
Sebelum itu, pemain nombor 18
dunia Ong Beng Hee terpaksa bekerja keras untuk menewaskan Stewart Boswell dari
Australia 9-11, 11-4, 11-8, 7-11, 11-4 dalam masa 72 minit.
Pemain bukan pilihan itu akan
bertemu pemain pilihan kelapan Wael El-Hindi dari Mesir hari ini dalam kelompok
16 pemain yang masih tinggal untuk merebut wang tunai QR60,681 (AS$16,706)
dalam acara lelaki yang menawarkan hadiah AS$120,000.
Beng Hee belum pernah bertemu
El Hindi tahun ini tetapi sejak tiga tahun lepas, beliau menewaskan bekas
pemain nombor 12 dunia itu dua kali.
Tempoh 101 minit pula
diperlukan El Hindi untuk menewaskan Alister Walker dari England 4-11, 11-10,
8-11, 11-10, 11-5 pada pusingan pertama mungkin memberikan kelebihan kepada
Beng Hee.
Sementara itu, dalam acara
wanita yang menawarkan wang tunai AS$60,000, pemain nombor satu dunia, Nicol
David menundukkan Samantha Teran dari Mexico 9-3, 9-3, 9-3 dalam masa 49 minit
dalam usahanya untuk mengekalkan kejuaraan.
Saya gembira saya berjaya
mengawal perlawanan. Beberapa kali kami bermain rali tetapi saya dapat
mata-mata penting. Saya gembira dapat beraksi baik di Doha, katanya.
Nicol akan berhadapan pemain
nombor 20, Isabelle Stoehr dari Perancis yang ditemui kali terakhir pada
pusingan pertama Kejohanan Dunia di Madrid minggu lepas.
Bernama
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vkzYawmk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan