Isnin, 16 Oktober 2017

Beng Hee ke suku akhir - Nicol lepasi pusingan pertama skuasy Terbuka Britain



ARKIB : 23/09/2007

KUALA LUMPUR – Ratu skuasy dunia, Nicol David menepati ramalan manakala pemain nombor dua lelaki negara, Ong Beng Hee mencipta kejutan untuk mara ke suku akhir Skuasy Terbuka Britain di Pusat Skuasy Kebangsaan, Manchester, England, kelmarin.

Nicol, pilihan utama kejohanan cuma mengambil 42 minit untuk menundukkan pemain tuan rumah, Laura Lengthorn-Massaro 9-5, 9-6, 9-4 dalam perlawanan pusingan pertama.

Beng Hee pula diheret sehingga sejam dalam pusingan kedua sebelum mampu menjinakkan pilihan kelapan, Stewart Boswell dari Australia 11-6, 11-7, 9-11, 11-9.

Sebaliknya, pemain utama Malaysia yang juga pilihan ke-14 kejohanan, Mohd. Azlan Iskandar terkandas lebih awal, kepada pemain nombor enam dunia, Nick Matthew dari England 9-11, 5-11, 4-11 selepas 48 minit.

Lawan Nicol yang juga juara Terbuka Britain dua kali dalam pusingan kedua ialah pilihan kelima dari Amerika Syarikat, Natalie Grainger yang menundukkan Jaclyn Hawkes dari New Zealand 9-5, 9-1, 9-1 selepas hampir setengah jam.

Beng Hee, 27, yang juga pilihan ke-16 kejohanan pula akan menentang pilihan keempat dari Perancis, Thierry Lincou pada suku akhir yang menumpaskan Mohammed Abbas dari Mesir 3-11, 11-3, 11-9, 8-11, 11-9 selepas sejam.

Kata Nicol, dia bermain sekejap baik sekejap menurun dalam aksi sulung untuk memburu kejuaraan hatrik di Manchester kelmarin kerana mengalami sedikit masalah dalam memberikan tumpuan kepada permainan dan gelanggang.

‘‘Saya bermain secara rali dan Laura meraih beberapa mata dalam dua set awal sedangkan saya lewat menyusulinya, mungkin kerana keadaan gelanggang yang agak tidak rata dan bola cuma melantun ke tengah,” katanya.

Menurut Beng Hee, dia mendapati Boswell masih cuba mencari rentak dalam dua set awal sehingga membuka peluangnya meraih kemenangan dan lawan hanya menang set ketiga apabila mengubah corak permainan.

“Set penghabisan menyebelahi saya mungkin kerana tuah apatah lagi dibantu dengan keadaan Boswell yang baru sahaja pulih daripada kecederaan beberapa minggu lalu,” katanya.

Sementara itu, Matthew menyifatkan Azlan sebagai pencabar yang bukan kepalang baginya dan salah seorang lawan yang begitu cergas biarpun pemain Malaysia itu dikalahkan dengan tiga set.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vfcngoUI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan