ARKIB : 12/11/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
NICOL David (kanan) dan Amr
Shabana menunjukkan trofi kejuaraan skuasy Terbuka Hong Kong masing-masing di
Plaza Hollywood, Hong Kong, semalam. Nicol menewaskan Natalie Grinham 3-0.
KUALA LUMPUR Ratu skuasy
negara, Nicol David menamatkan aksi tahun ini dengan bergelar juara Terbuka
Hong Kong buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan musuh tradisi,
Natalie Grinham dari Australia, semalam.
Dalam perlawanan akhir di Plaza
Hollywood, Hong Kong yang berlangsung hampir sejam, Nicol, 24, yang menang 9-3,
9-5, 10-8 turut melebarkan koleksi kejuaraannya kepada lapan sepanjang tahun
ini sambil meraih ganjaran selaku juara, AS$12,819 (RM42,597).
Sejak Mac lalu, gadis kelahiran
Pulau Pinang menjuarai Terbuka Kuala Lumpur, Terbuka Kuwait (April), Klasik
Qatar 2006 (April), Terbuka Malaysia (Julai), Master Singapura (Ogos), Terbuka
Belanda (Ogos) dan Klasik Qatar 2007 (November).
Dia turut bergelar naib juara
Terbuka Britain di Manchester dan Terbuka Kota Seoul selain kalah mengejut
seawal pusingan kedua Terbuka Dunia di Madrid, Sepanyol.
Kemenangan ke atas Natalie,
adik Rachael Grinham yang mengecewakannya di Manchester, merupakan kali ke-10
dalam 13 pertemuan sejak 36 bulan lalu dan yang kelima tahun ini selepas di
Kuwait, Kuala Lumpur, Doha dan Singapura.
Kata Nicol, sungguh menarik
dapat menang semula seperti mana di Doha (Klasik Qatar), baru-baru ini. Kali
ini saya tetap bermain pada tahap terbaik dan memang berharap mencapai
kesudahan yang baik dalam kejohanan terakhir tahun ini.
Jelas pemain nombor satu dunia
ini, kemenangan tiga set berterusan tidak memberikan gambaran sebenar suasana
perlawanan ini. Tentangan Natalie cukup hebat dan saya hanya berharap untuk
terus menang walaupun terpaksa bekerja keras.
Setiap permainan rali menuntut
kepesatan yang tinggi malah kadangkala seperti tidak berkesudahan. Mungkin
kerana keinginan tinggi dan kerja keras saya untuk menang tiga set dan
menghabiskan segera, mendorong kejayaan ini, katanya.
Natalie, pilihan kedua
kejohanan, menganggap dia sudah cuba mengekang Nicol sedaya upaya tetapi lawan
masih menang kerana mempunyai kelebihan dari segi pergerakan pantas dan mampu
mengutip setiap hantaran dan pukulannya.
Titik tolak kekalahan ini
ialah dalam set ketiga apabila saya cuba bertukar rentak permainan pantas
tetapi tersilap dalam satu permainan rali. Ia cukup mengecewakan saya walaupun
keseluruhannya, permainan kami setara.
Namun saya tidak begitu
berharap besar kali ini memandangkan pergelangan tangan saya masih sakit sejak
Terbuka Dunia lalu. Saya berpuas hati dapat mara ke perlawanan akhir di Hong
Kong walaupun dengan keadaan itu, katanya.
Sementara itu, pilihan utama
kejohanan, Amr Shabana dari Mesir menggondol gelaran lelaki selepas menundukkan
pilihan kedua dari Perancis, Gregory Gaultier 11-13, 11-3, 11-6, 13-11 dalam
tempoh 61 minit.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vpCxfulJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan