ARKIB : 26/09/2007
KUALA LUMPUR Rachael Grinham
dari Australia menyekat harapan ratu skuasy Malaysia dan pemain nombor satu
dunia, Nicol Ann David untuk mencipta hatrik pada perlawanan akhir Kejohanan
Skuasy Terbuka Britain 2007 di Pusat Skuasy Nasional, Manchester, semalam.
Selaku pilihan pertama dan
penyandang juara, Nicol tewas 2-3 dalam perlawanan akhir penuh dramatik yang
berlangsung selama 87 minit. Grinham merupakan juara kejohanan ini pada 2003
dan 2004.
Pemain berusia 24 tahun dari
Pulau Pinang itu mendahului dalam dua set pertama 9-7, 9-4 tetapi Grinham
bangkit dalam tiga set terakhir dengan menundukkan Nicol 9-3, 10-8 dan 9-1.
Nicol tahu apa yang patut
dilakukan tetapi daripada set ketiga dan seterusnya, dia tidak lagi dapat
mengawal Grinham.
Dia memberi banyak ruang
kepada lawan untuk mencuri mata. Ia tidak sepatutnya berlaku apabila kita
menentang mana-mana pemain yang menduduki senarai lima teratas dan Grinham
memanfaatkan peluang itu sepenuhnya, kata jurulatih Nicol, Liz Irving.
Menurut jurulatih itu lagi,
Grinham pula beraksi dengan corak permainan biasanya walaupun ia kelihatan
berisiko tinggi dan jarang dilakukan oleh kebanyakan pemain.
Nicol perlu banyak belajar
daripadanya dan dia telah berusaha mempelajarinya. Jadi, dia benar-benar
kecewa. Saya pasti dia akan belajar dan berusaha mengatasinya, kata Irving.
Ini kekalahan kedua Nicol dalam
lapan kejohanan yang disertainya sepanjang tahun ini. Bagi Grinham, ia sesuatu
yang mengejutkan kerana berjaya menumpaskan lawannya buat pertama kali dalam 16
pertemuan sesama mereka.
Mengejutkan! Ia kemenangan
terbaik saya. Saya pernah menang dua gelaran tetapi itu beberapa tahun lepas.
Saya tidak menang dalam sebarang pertandingan besar sejak itu dan seolah-olah
peluang saya untuk menang semakin tipis.
Saya agak fokus tetapi
bermain agak perlahan pada awalnya. Tekanan berpihak kepada Nicol dan saya
hanya perlukan tumpuan.
Menang pada set ketiga
memberikan keyakinan kepada saya dan dia ternyata tidak lagi sepantas awal
permainan, kata Grinham.
Gregory Gaultier dari Perancis
pula menewaskan rakan senegaranya, Thierry Lincou 11-4, 10-12, 11-6 dan 11-3
dalam perlawanan akhir untuk mengungguli kategori lelaki.
Kejohanan berprestij itu yang
menawarkan hadiah wang tunai AS$43,500 bermula di Manchester, Jumaat lalu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vg0Ke35D
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan