ARKIB : 09/11/2007
KUALA LUMPUR Pemain nombor
satu wanita negara dan dunia, Nicol Ann David tidak menghadapi masalah untuk
melayakkan diri ke suku akhir skuasy Terbuka Hong Kong, semalam.
Kejayaan menewaskan pemain
pilihan ke-16 dari Belanda, Annelize Naude 9-5, 9-2, 9-4 dalam masa 32 minit di
pusingan kedua itu membolehkan Nicol meneruskan usaha memburu kejuaraan kedua
dalam tempoh 14 hari.
Nicol yang masih segar dengan
kejayaan menjuarai Qatar Klasik minggu lalu akan bertemu pemain England, Jenny
Duncalf di suku akhir hari ini.
Duncalf layak selepas
menewaskan seorang lagi pemain Belanda yang juga bekas pemain nombor satu
dunia, Vanessa Atkinson 8-10, 9-4, 9-0, 9-1.
Jika Nicol berjaya mengatasi
Duncalf, menantinya di separuh akhir adalah pemain Australia, Rachael Grinham.
Grinham adalah pemain yang sama
ditewaskan Nicol pada separuh akhir Qatar Klasik dan yang juga menewaskannya
pada perlawanan akhir Terbuka Britain sebelum ini.
Di pusingan kedua semalam,
Grinham menewaskan pemain England, Laura Lengthorn Massaro 9-5, 9-4, 10-8 dan
akan bertemu Vicky Botwright di suku akhir hari ini.
Sementara itu dalam bahagian
lelaki, Ong Beng Hee gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada pemain
pilihan pertama, Amr Shabana dari Mesir 11-5, 11-6, 11-8.
Begitu juga dengan Mohd Azlan
Iskandar yang turut tewas di pusingan kedua kepada pemain Perancis, Thierry
Lincou 11-7, 11-4, 11-5.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4voqtodeI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan