ARKIB : 26/10/2007
KUALA LUMPUR - Nicol David
gagal mempertahankan kejuaraan dunia selepas tersingkir pada pusingan kedua
skuasy wanita Terbuka Dunia di Madrid semalam, kekalahan mengejut keduanya
dalam tempoh lima minggu.
Pemain nombor satu dunia itu
tewas 0-9, 1-9, 9-2, 9-3, 6-9 kepada Shelly Kitchen dari New Zealand, sekaligus
memusnahkan impiannya untuk melakar sejarah sebagai pemain pertama merangkul
gelaran dunia tiga kali berturut-turut.
Malah, kekalahan itu menyusul
sebulan selepas dia tewas kepada pemain Australia, Rachael Grinham ketika
terlepas untuk mempertahankan kejuaraan prestij Terbuka Britain di Manchester,
bulan lalu.
Ini juga merupakan kekalahan
pertama Nicol di tangan Kitchen selepas memenangi semua 11 pertemuan kedua-dua
mereka sejak 2004.
Saya sangat kecewa. Shelly
memang selalu menjadi pencabar yang sukar buat saya dan saya tahu sejak awal
dia akan memberi masalah kepada saya.
Fokus saya turun naik
sepanjang perlawanan. Pada kedudukan 5-0 di set kelima, dia mengawal semula
rentak permainan tetapi saya masih cuba untuk mempertahankan kedudukan.
Hari ini memang bukan hari
saya, namun saya harus segera mengalih tumpuan daripada terus kecewa. Fokus
saya kini adalah Terbuka Qatar dan Hong Kong bulan depan, kata Nicol, yang
turut kalah kepada Kitchen dalam perebutan pingat gangsa pada Sukan Komanwel
2006.
Ini adalah kali pertama sejak
April, 2004, pemain kelahiran Pulau Pinang itu gagal melepasi peringkat suku
akhir daripada 36 kejohanan Jelajah WISPA (Persatuan Skuasy Profesional Wanita
Dunia) yang disertai.
Beberapa kesilapan yang
dilakukan oleh Nicol, selain beberapa keputusan pengadil yang boleh
dipertikaikan melengkapkan kekalahan jaguh nombor satu Malaysia itu.
Setiap kali pengadil membuat
keputusan yang berpihak kepada lawan, setiap kali itulah Nicol semakin
tertekan, ia sekali gus membuka ruang buat Kitchen untuk mengukuhkan kawalan.
Pemain nombor 11 dunia itu mula
mengatur serangan demi serangan, dan yang terakhir ia menjadi penentu keputusan
perlawanan.
Dengan kekalahan Nicol,
adik-beradik Grinham, Natalie dan Rachael, pilihan kedua serta ketiga kejohanan
kini menjadi pilihan untuk membawa semula kejuaraan dunia ke Australia.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vjxEWq1i
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan