ARKIB : 11/08/2007
Oleh: ROZILAN SALLEH
PULAU PINANG Meskipun berada
pada kedudukan selesa selaku pemain nombor satu dunia, Nicol David tetap tidak
memandang rendah keupayaan pencabar lain yang berada dalam senarai 10 pemain
terbaik skuasy wanita dunia.
Untuk itu bagi memastikan
gelaran pemain nombor satu dunia terus kukuh berada dalam genggamannya, Nicol
kini menetapkan sasaran untuk memastikan kejuaraan bagi lima lagi kejohanan
utama sehingga akhir tahun ini berpihak kepadanya.
Mencatatkan keputusan cemerlang
selepas merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia CIMB pada 28 Julai lepas diikuti
Masters Wanita Singapura CIMB, Ahad lalu, beliau kini mahu memberi perhatian
terhadap Terbuka Belanda yang bakal bermula 28 Ogos hingga 2 September ini.
Ini diikuti dengan Terbuka
British pada 18 hingga 24 September, Terbuka Dunia di Madrid, Sepanyol pada 23
hingga 27 Oktober diikuti Qatar Classic pada 28 Oktober hingga 1 November dan
Terbuka Hong Kong pada 6 hingga 11 November.
Sudah tentu saya mengambil
kira pencabar-pencabar lain pada setiap kejohanan yang disertai terutama yang
berada dalam senarai 10 pemain terbaik dunia bagi memastikan gelaran pemain
nombor satu itu tidak terjejas.
Saya tidak boleh leka kerana
pemain-pemain lain sentiasa berusaha mengukuhkan kedudukan mereka dalam ranking
dunia, katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar program Fun & Fiesta
07' Persatuan Bekas Murid-Murid Sekolah Menengah Convent Green Lane di sini,
semalam.
Berdasarkan kedudukan terbaru
ranking yang dikeluarkan Persatuan Pemain Skuasy Wanita Dunia (Wispa) pada 1
Ogos lalu, Nicol terus menguasai takhta dunia diikuti pemain Australia, Natalie
Grinham dan Rachael Grinham yang berada pada kedudukan kedua dan ketiga dan
Tania Bailey (England) di kedudukan keempat.
Ini diikuti Natalie Grainger
(Amerika Syarikat) yang berada di ranking kelima dan seterusnya Vicky Botwright
(England), Omneya Abdel Kawy (Mesir), Madeline Perry (Ireland), Vanessa
Atkinson (Belanda) dan Shelley Kitchen (New Zealand).
Nicol muncul juara Terbuka
Malaysia CIMB selepas menundukkan Bailey, pilihan keempat kejohanan dengan
9-4,9-3 dan 9-2 manakala di Masters Wanita Singapura CIMB pula, beliau
menumpaskan Natalie Grinham 9-6, 9-5, 9-5.
Meskipun masih mahu meluangkan
lebih banyak masa bersama keluarga dan rakan-rakan, namun Nicol akur dengan
keperluannya untuk mempersiapkan diri menjelang lima lagi kejohanan utama dunia
yang menjadi sasarannya.
Untuk itu beliau akan berlepas
semula ke menjalani latihannya di Amsterdam minggu ini sebagai persiapan
menjelang Terbuka Belanda yang disifatkannya sebagai antara kejohanan utama
perlu diberi tumpuan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4vNzfgb9P
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan