ARKIB : 23/12/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
Nicol David mencatat rekod
cemerlang pada tahun ini.
KUALA LUMPUR Ratu skuasy
negara, Nicol David meraih satu lagi pengiktirafan besar antarabangsa dalam
tempoh 10 hari apabila dipilih sebagai Pemain Wanita Terbaik WISPA 2007 dalam
majlis penyampaian Anugerah Skuasy Dunia di London, England kelmarin.
Nicol, 24, meraih undi
terbanyak daripada ahli Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (WISPA)
sekali gus mengatasi pencabar terdekat dan orang yang merampas gelaran Terbuka
Britain daripadanya, Rachael Grinham dari Australia di Manchester, England,
Oktober lalu.
Sepanjang tahun ini, Nicol
sudah mengumpul lapan gelaran antaranya Terbuka Kuala Lumpur (Mac), Terbuka
Kuwait (April), Klasik Qatar 2006 (April), Terbuka Malaysia (Julai), Master
Singapura (Ogos), Terbuka Belanda (Ogos) dan Klasik Qatar 2007 serta Terbuka
Hong Kong (November).
Dua lagi calon pencabar
anugerah ini ialah adik Rachael, Natalie Grinham juga dari Australia dan pemain
New Zealand, Shelley Kitchen yang mengejutkan Nicol dalam Terbuka Dunia di
Madrid, Sepanyol. Amr Shabana dari Mesir pula dipilih sebagai Pemain Terbaik
Lelaki 2007.
Anugerah berprestij yang
disampaikan di Kelab RAC, Pall Mall merupakan yang kedua milik Nicol selepas
dipilih sebagai Olahragawati Terbaik Asia 2007 anjuran Kesatuan Penulis-Penulis
Sukan Asia (ASPU) pada 12 Disember lalu di Kuala Lumpur.
Ia juga kali ketiga
berturut-turut gadis kelahiran Pulau Pinang yang juga pemain nombor satu dunia
ini bergelar Pemain Terbaik Anugerah Skuasy Dunia. Dia juga pernah mencapai
rekod tanpa kalah dalam 50 perlawanan sepanjang tahun ini.
Siri kejayaannya itu cuma
dicacatkan oleh kegagalan mempertahankan gelaran Terbuka Britain dan cuma naib
juara Terbuka Kota Seoul selain kalah mengejut seawal suku akhir Terbuka Dunia.
Seorang lagi pemain negara, Low
Wee Wern bagaimanapun kalah dalam perebutan anugerah Pemain Muda Wanita Terbaik
WISPA yang dimenangi oleh Camille Serme dari Perancis. Turut dicalonkan ialah
Annie Au (Hong Kong), Heba El Torky (Mesir), dan Maria Toor Pakay (Pakistan).
Shabana, 28, dari Giza,
Kaherah, dipilih sebagai Pemain Lelaki Terbaik PSA (Persatuan Skuasy
Profesional) atas kejayaannya menjuarai Terbuka Windy City dan Kejohanan
Juara-Juara, Antarabangsa Saudi, Klasik Qatar, Terbuka Hong Kong dan Terbuka
Dunia
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4w3fUOEGv
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan