Rabu, 4 Oktober 2017

Pemain kita sapu bersih -- Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia



ARKIB : 29/07/2007
Oleh AMRAN MULUP
GAYA JUARA... Nicol David (depan) membalas pukulan lawannya dari England, Tania Bailey pada perlawanan akhir skuasy Terbuka Malaysia di The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, semalam. – Gambar SHAIFUDIN MOHD. NOR.

PETALING JAYA - Malaysia mengulangi pencapaian 2005 apabila juara dunia, Nicol David dan Mohd. Azlan Iskandar menjuarai kategori lelaki dan wanita Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di The Curve, Mutiara Damansara, semalam.

Selepas kejayaan berganda pada 2005 apabila Nicol dan Ong Beng Hee bergelar juara, kali ini giliran Mohd. Azlan pula memastikan pencapaian kedua dirintis sepanjang kejohanan berusia 32 tahun yang kali pertama diadakan pada 1975.

Selepas mengharungi laluan getir lima set pada separuh akhir kelmarin, langkah mudah merintis Nicol dan Mohd. Azlan tanpa mendapat tentangan sengit dan mereka menang mudah ke atas lawan masing-masing untuk mencipta kejayaan berganda.

Nicol, 23, mudah mengetepikan cabaran pilihan keempat, Tania Bailey dari England dengan kemenangan 9-4, 9-3, 9-2 sekaligus mendakap gelaran hatrik selepas muncul juara pada 2005 dan 2006.

Laluan mudah turut dirintis pemain kelahiran Sarawak, Mohd. Azlan apabila mudah menjinakkan pilihan pertama Stewart Boswell dari Australia menerusi kemenangan 13-11, 11-8 dan 11-4.

Bagi Mohd. Azlan kemenangan tersebut adalah buat kali kedua di kejohanan ini apabila kali pertama dinobatkan selaku juara pada 2004.

Kemenangan itu membolehkan Nicol menerima wang tunai AS$6,650 (RM23,010) dan sebuah trofi manakala Mohd. Azlan pula memperoleh AS$5,700 (RM19,723) serta trofi.

‘‘Saya gembira dengan kemenangan ini dan tidak sangka laluan mudah di akhir berbanding pada separuh akhir semalam (kelmarin).

‘‘Kemenangan ini juga adalah persiapan saya menghadapi Kejohanan Singapura Masters awal bulan depan,’’ ujar Nicol sejurus tamat perlawanan.

Nicol tidak berdepan sebarang tentangan sengit daripada Bailey sejak daripada set pertama hingga set ketiga malah pemain England itu tidak dapat mencuri peluang untuk memintas pemain negara.

Ketangkasan Nicol sering memerangkap Bailey dan memudahkan pemain nombor satu negara itu mengutip mata demi mata untuk menang dalam tempoh 36 minit.

Sementara itu, Mohd. Azlan hanya mendapat tentangan sengit daripada Boswell khususnya pada set pertama.

Pada satu ketika, Mohd. Azlan ketinggalan 3-10 namun kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh Boswell selain sikap panas baran hingga dia membaling raket mempertikaikan keputusan pengadil, membolehkan Mohd. Azlan mengutip mata terikat 10-10.

Ketika mata terikat 11-11, Mohd. Azlan mempamerkan corak permainan pantas memerangkap Boswell dan kemenangan memihak kepada pemain negara dengan 13-11.

Pada set kedua dan set ketiga, Boswell tampak longlai dan tidak bermaya untuk membolehkan Mohd. Azlan mengambil kesempatan itu menang 11-8 dan 11-4.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4uY4eUb58
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan