Jumaat, 20 Oktober 2017

Nicol buka tirai selaku no. 1



ARKIB : 03/01/2008

KUALA LUMPUR - Gagal mempertahankan Kejuaraan Dunia dan Terbuka Britain pada 2007 tidak menghalang jaguh skuasy negara, Nicol David memulakan musim 2008 selaku pemain nombor satu dunia bagi tahun ketiga berturut-turut.

Nicol, 24, yang dipilih sebagai Pemain Wanita Terbaik Dunia dan Olahragawati Asia 2007 selepas merangkul lapan kejuaraan dalam Jelajah WISPA (Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa) mengatasi dua pemain adik-beradik, Natalie Grinham dan Rachael Grinham dari Australia.

Pemain Amerika Syarikat, Natalie Grainger pula mengekori di ranking keempat, diikuti tiga pemain England, Tania Bailey, Vicky Botwright dan Jenny Duncalf.

Sementara itu, Terbuka Apawamis di New York, Amerika Syarikat pada 1 Februari ini bakal menjadi gelanggang pembuka tirai 2008 bagi Nicol.

Menanti ratu skuasy Malaysia itu yang menamatkan aksi sepanjang 2007 dengan menjuarai Terbuka Hong Kong, November lalu dalam pusingan pertama ialah lawan yang mara daripada kelayakan, sehari sebelumnya.

Nicol, yang diletakkan sebagai pilihan utama kejohanan bernilai AS$60,000 (RM198,690) itu pernah muncul naib juara pada 2006 selepas dikalahkan oleh bekas musuh ketatnya, Vanessa Atkinson dari Belanda 6-9, 2-9, 10-9, 7-9.

Jika mara ke suku akhir, pemain nombor satu dunia dan pemegang lapan gelaran sepanjang 2007 kelahiran Pulau Pinang ini akan menghadapi pemenang satu lagi pusingan pertama antara dua pemain England, Vicky Botwright dengan Laura Lengthorn-Massaro.

Natalie - antara pemain Australia yang turut dicalonkan di samping kakaknya, Rachael dalam Anugerah Skuasy Dunia anjuran Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (WISPA) 21 Disember lalu, diletakkan sebagai pilihan kedua dan ketiga Terbuka Apawamis.

Turut menyertai kejohanan ini ialah Grainger, Madeline Perry (Ireland), Vanessa, Omneya Abdel Kawy (Mesir), Duncalf, Bailey dan Shelley Kitchen (New Zealand).

Selain Terbuka Hong Kong, Nicol memenangi Terbuka Kuala Lumpur (Mac), Terbuka Kuwait (April), Klasik Qatar 2006 (April), Terbuka Malaysia (Julai), Master Singapura (Ogos), Terbuka Belanda (Ogos) dan Klasik Qatar 2007 (November) sepanjang tahun lalu

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4w4IvrxXb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan