ARKIB : 14/08/2001
JUARA remaja dunia dua kali
berturut-turut, Nicol David akan menyertai kejohanan Terbuka Hong Kong dan
Heliopolis di Mesir sebelum Sukan SEA XXI di Kuala Lumpur, bulan depan.
Ratu skuasy negara itu akan
turun untuk mempertahankan pingat emas dalam acara perseorangan yang
dimenanginya pada temasya Sukan SEA XX di Brunei dua tahun lalu dan yakin untuk
mempertahankan gelarannya itu pada tahun ini.
Terbuka Hong Kong akan diadakan
pada 19 Ogos hingga 26 Ogos sementara Terbuka Heliopolis diadakan pada 30 Ogos
hingga 4 September ini.
``Kedua-dua kejohanan ini
adalah pemanas badan bagi saya sebelum Sukan SEA dan ini merupakan gelanggang
untuk saya melihat kelemahan dan sekali gus membaikinya,'' katanya ketika
ditemui pada majlis sumbangan insentif berbentuk penajaan daripada Mulpha
Sports Sdn Bhd oleh Pengarah Mulpha International Bhd, Dennis Low di sebuah
HOTEL TERKEMUKA di Petaling Jaya.
Turut hadir pada majlis ringkas
itu ialah Pengarah Eksekutif Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Kolonel
(B) Wong Ah Jit.
Insentif itu diberikan kepada
Nicol selepas dia berjaya mempertahankan gelarannya sebagai juara remaja wanita
dunia dua kali berturut-turut pada 1999 dan 2001 pada 21 Julai lalu di Pulau
Pinang.
Sementara itu menurut Nicol,
17, dari Pulau Pinang, dia tidak mahu terlalu yakin dan menghormati
pemain-pemain lain dalam kejohanan itu.
``Saya mungkin akan bertemu
rakan senegara sama ada Tricia Chuah atau Sharon Wee pada perlawanan akhir
kelak dan saya harus turun ke gelanggang dahulu sebelum mengatakan mampu
menewaskan mereka atau sebaliknya,'' katanya.
Sementara itu, pada Terbuka
Hong Kong kelak, Nicol akan berdepan tugas sukar apabila diundi bertemu pemain
nombor dua dunia, Carol Owens pada pusingan pertama.
Sementara itu, Nicol berkata,
dia meletakkan sasaran untuk berada pada 20 tempat teratas dunia pada ranking
dunia.
Menurutnya, sebelum kejohanan
skuasy remaja wanita dunia yang diadakan di Pulau Pinang bulan lalu, rankingnya
adalah 27 dunia.
``Saya menumpukan perhatian
kepada kejohanan remaja dunia dan saya tidak menyertai sebarang kejohanan
profesional sebelum itu dan ini menyebabkan ranking saya jatuh ke tempat 31
dunia pada ketika ini,'' katanya.
Menurut Nicol, dia akan
menyertai sekurang-kurangnya lima kejohanan selepas ini dalam usaha untuk
membaiki rankingnya kepada tempat ke-20 dunia.
``Tiada tekanan bagi saya untuk
membaiki ranking saya dan jika saya gagal untuk melakukannya pada tahun ini,
masih ada peluang untuk saya pada tahun depan,'' katanya.
Smber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0814&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bimk2wNC
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan