Sabtu, 18 Mac 2017

Nicol di tangga ke-31 dunia

ARKIB : 02/08/2001
PEMAIN skuasy negara, Nicol David kini berada di tangga ke-31 dalam senarai terbaru Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (Wispa) yang dikeluarkan di London semalam.

Nicol, yang mempertahankan gelaran juara remaja dunia di Pulau Pinang bulan lalu sebelum ini menduduki ranking ke-25 dunia.

Selain menjuarai kejohanan individu, Nicol turut membantu pasukan negara muncul naib juara acara berpasukan kejohanan remaja dunia edisi ke-9 itu.

Bagaimanapun kejayaan Nicol itu tidak memberi kesan dalam ranking dunia kerana Wispa hanya mengiktiraf kejohanan-kejohanan profesional.

Seorang lagi pemain negara, Sharon Wee kekal sebagai pemain nombor 41 manakala Tricia Chuah jatuh tiga anak tangga di tempat ke-49.

Ketua jurulatih kebangsaan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam berkata beliau tidak begitu risau dengan penurunan ranking Nicol dan Tricia kerana mereka masih mempunyai masa yang panjang dan berpeluang menyertai banyak kejohanan untuk memperbaiki ranking mereka.

Nicol, Tricia dan Sharon dijadualkan menyertai Terbuka Hong Kong minggu depan sementara Nicol dijangka beraksi pada kejohanan Heliocispolis di Mesir sebelum Sukan SEA XXI September ini.

Sementara itu, pemain skuasy lelaki nombor satu Malaysia Ong Beng Hee mengekalkan kedudukannya di tangga kelapan ranking lelaki untuk tempoh dua bulan berturut-turut.

Bekas juara remaja dunia itu yang ditewaskan oleh pemain Australia Stewart Boswell pada pusingan pertama Terbuka Scotland bulan lalu mengutip 125 mata dalam kejohanan itu untuk mengumpul purata 307.361 mata daripada 12 kejohanan.

Seorang lagi pemain profesional negara, Kenneth Low naik dua tempat ke tangga 47 manakala Mohammad Azlan Iskandar turun satu tangga ke kedudukan 60.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bhsfv5mo

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan